Wednesday, April 29, 2026

Pengalaman Saya Berniaga Tepi Jalan Tahun 2014

Tiba-tiba hati saya terdetik nak kongsi perkara yang saya alami masa berniaga tepi jalan dulu.

pengalaman berniaga tepi jalan
Gambar hiasan.

Jika anda suka baca pengalaman orang berniaga tepi jalan, artikel ini untuk anda.

Masa tu saya dan orang rumah jual nasi lemak RM2 guna polisterin. Harga RM2 dapat nasi penuh satu polisterin, kacang, ikan bilis, timun, sambal dan telur goreng sebiji.

Selain nasi lemak, ada juga mi goreng, mi siam dan kuih-muih.

Di antara perkara yang saya tak dapat lupakan ialah ada pelanggan nak beli nasi lemak RM1, tak nak telur tapi kacang lebih, ikan bilis lebih, timun lebih, sambal lebih. 

Dalam hati saya masa tu? Saya tak luahkan pun. Saya ikutkan juga.

Bukan seorang je macam tu. ada juga pelanggan lain beli macam tu sampai 7 ke 8 bungkus. Nak harga RM1 sebungkus, tak nak telur tapi nak kacang, ikan bilis dan sambal lebih.

Masa tu saya rasa nak sangat jelaskan dekat pelanggan-pelanggan yang nak segala-galanya lebih tapi tak nak bayar lebih. Betapa susah dan peritnya nak keluarkan modal buat nasi lemak.

Bukan senang nak buat sambal nasi lemak. Potong bawang, potong cili kering. Pedih mata!

Pelanggan-pelanggan yang beli nasi lemak RM1 tak nak telur tapi minta segala-galanya lebih, takkan faham selagi tak rasa sendiri pengalaman keluar modal dan buat nasi lemak.

Selain tu?

Ada pengalaman lain?

Ada sorang aunty Cina datang beli sebungkus nasi lemak RM2. Tak sampai 5 minit dia datang lagi, ingatkan nak beli lagi.

Rupa-rupanya dia tak puas hati harga nasi lemak saya jual tu RM2. Dia bising-bising minta duit balik 50 sen.

Saya dan orang rumah dah jelaskan pada dia, harga nasi lemak yang dijual memang RM2. Dia tetap tak puas hati nak minta duit balik 50 sen juga. Dia kata harga nasi lemak sebungkus RM1.50 je!

Akhirnya saya dan orang rumah mengalah, bagi je la dia 50 sen.

Selang beberapa hari berikutnya, aunty Cina yang sama datang lagi.

Apa jadi? Nak paksa suruh jual nasi lemak RM1.50 macam hari tu juga?

Kali ni saya dah bersedia untuk berkeras harga nasi lemak telur mesti RM2!

Aunty Cina tu tak complaint pasal harga nasi lemak lagi. Dia setuju nak beli nasi lemak telur harga RM2.

Alhamdulillah.

Masa tu saya bersyukur sangat. Mungkin dia rasa berbaloi nasi lemak RM2 dengan jumlah nasi yang penuh satu polisterin, jumlah kacang, ikan bilis, timun dan sambal yang tak kedekut.

Sejak hari tu dia jadi repeat customer nasi lemak RM2. Dalam seminggu adalah 3 atau 4 kali dia singgah beli nasi lemak RM2.

Bagi dia 50 sen, lepas tu berulangkali dia singgah beli nasi lemak. 

Ada juga customer yang terkejut sebab harga nasi lemak yang dijual murah sangat.

Harga nasi lemak telur RM2. Harga nasi lemak ayam RM3. Harga nasi lemak telur campur ayam RM4.

Size ayam goreng? Seekor ayam potong 10.

Ada customer kata murahnya nasi lemak ayam RM3. Kalau kat restoran, satu ketul ayam sahaja dah RM3.50. Ini harga pada tahun 2014.

Ada juga customer lain yang rasa menyesal tak tahu awal-awal ada orang jual nasi lemak ayam harga RM3 je. Memang tak jumpa kat tempat lain katanya.

Ada juga customer yang takut tengok saiz ayam goreng besar. Pelik?

Memang ada rupanya orang yang takut tengok saiz ayam besar.

Kalau saya jadi customer, saya lagi seronok kalau dapat beli ayam goreng saiz besar tapi harga murah.

Customer yang selalu beli nasi lemak RM1 tak nak telur tapi nak segala-galanya lebih?

Pernah juga dia beli minsiam tapi nak ada kacang dan ikan bilis juga. Harga? RM1 juga.

Sepanjang berniaga tu, ada juga orang nak tumpang letak makanan. Setiap satu bungkus makanan dorang yang terjual, saya terima 50 sen.

Ada yang letak mi rebus tapi hasil jual agak kurang memuaskan. Selang 2 atau 3 minggu dia sendiri buat keputusan tak nak letak lagi mi rebus.

Ada yang letak nasi kerabu. Setiap kali tak terjual, muka dia masam. Tak sampai sebulan, akhirnya dia sendiri buat keputusan tak nak letak lagi nasi kerabu.

Ada juga pasangan suami isteri yang letak macam-macam. Nasi beriani, nasi jawa, lontong kering, lontong basah, bubur ayam, nasi impit soto, mee soto, bihun soto. Walaupun banyak tak terjual tapi dorang steady je.

Dorang ada letak makanan dorang kat peniaga-peniaga tepi jalan yang lain. Ada masa memang tak banyak yang dapat dijual.

Steady betul dorang. Boleh tahulah dorang ni berpengalaman luas dengan sepak terajang dalam dunia perniagaan.

Meja nampak meriah sejak dorang letak macam-macam.

Pelanggan yang singgah pun boleh tengok ada banyak pilihan.

Dalam banyak-banyak pelanggan tu ada satu orang yang bagi pendapat dia pasal banyak jenis makanan atas meja. Dia kata buat apa jual barang-barang orang lain, nanti barang sendiri tak laku.

Lebih baik fokus jual barang sendiri je katanya.

Saya tak menafikan pendapat dia dan pada masa yang sama saya tak setuju dengan dia. Saya diam je dengar pendapat dia.

Semua orang berniaga nak untung.

Siapa yang nak rugi?

Kalau peniaga tepi jalan boleh kawal cuaca, memang tak nak hujanlah sepanjang berniaga tu.

Bila cerita pasal hujan, teringat pengalaman berdepan dengan hujan lebat masa berniaga sarapan.

Makanan banyak lagi tak terjual tapi hujan punyalah lebat. Angin kuat sampai kanopi bergoyang macam nak terbang.

Kelam-kabut simpan barang-barang berniaga dalam van. Cepat-cepat simpan kanopi sebab risau terjatuh dan terpatah.

Terpaksa redha je. Hujan lebat, angin kuat, memang tak dapat berniaga.

Kalau berniaga dalam bangunan seperti restoran atau foodcourt, tak perlu risau pasal hujan.

Saya pun ada terfikir nak berniaga di foodcourt/kiosk masa tu. Saya tak mampu nak bayar sewa jadi terpaksa berniaga di tepi jalan je.

Okay cukuplah perkongsian saya pasal berniaga tepi jalan buat masa ni.

Kalau ada peniaga tepi jalan jual sebungkus nasi lemak, telur sebiji, kacang, ikan bilis, timun dan sambal tak kedekut harga RM5 pada tahun 2026, anda rasa mahal ke murah?


Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.