Tuesday, May 17, 2022

Kisah Penjual dan Pembeli Tikus

Anda pernah dengar cerita pasal penjual dan pembeli tikus? Inilah kali pertama saya nak kongsikan cerita ni di blog saya.

Kisah si penjual dan pembeli tikus.

OK jom teruskan baca..

Pada suatu hari ada seorang lelaki kaya bernama Palahatoi datang ke sebuah kampung yang bernama Tambazoom. Kampung Tambazoom ni merupakan sebuah kampung yang sederhana besar dengan jumlah penduduknya yang sederhana ramai.

Palahatoi beritahu kepada penduduk-penduduk kampung tersebut bahawa dia akan beli seekor tikus pada harga RM5. Tak kira saiz kecil atau besar, Palahatoi nak beli seekor pada harga RM5.

Orang-orang kampung mula terfikir betapa untungnya jual tikus. Selama ini tak pernah orang datang ke Kampung Tambazoom sebab nak beli tikus.

Kalau nak jual sebungkus nasi lemak telur sebiji siap ada kacang dengan sambal ikan bilis harga RM3 pun belum tentu orang nak beli. Itu pun ada orang komplen mahal. Ada juga golongan yang sindir, "nak cepat pergi haji ke?"

Jual tikus lagi untung. Maka bersemangatlah orang-orang kampung tangkap tikus untuk dijual kepada Palahatoi. Dalam masa sehari je Palahatoi dah beli beratus-ratus ekor tikus dari penduduk-penduduk kampung.

Palahatoi telah mengeluarkan RM4500 untuk membeli tikus-tikus dari orang kampung pada hari pertama. Ini bermakna jumlah tikus yang dibeli oleh Palahatoi ialah 900 ekor.

Namun ada sebahagian orang kampung tak nak tangkap tikus sebab geli. Mereka disindir dan diejek oleh golongan yang menjual tikus kepada Palahatoi.

Pada hari kedua, Palahatoi menawarkan harga RM10 bagi seekor tikus. Harga yang ditawarkan itu telah menyebabkan makin ramai orang kampung bersemangat nak tangkap tikus.

Sebahagian orang kampung yang geli dengan tikus pun telah memberanikan diri untuk menangkap tikus. Beribu-ribu ekor tikus telah berjaya dijual kepada Palahatoi pada hari kedua.

Kali ini Palahatoi telah mengeluarkan RM90,000 untuk membeli semua tikus yang dijual oleh orang-orang Kampung Tambazoom. Ini bermakna jumlah tikus yang dibeli oleh Palahatoi ialah 9000 ekor.

Pada hari ketiga, Palahatoi menawarkan harga RM20 bagi seekor tikus. Habis satu kampung jadi lebih bersemangat nak memburu tikus. 

Budak-budak kampung yang aktif main bola sepak, belon acah, sepaktakraw dan lain-lain pun sibuk nak cari tikus. Dorang dah tak nak buat aktiviti-aktiviti sukan atau riadah di petang hari sebab harga tikus seekor RM20 punya pasal.

Kali ini jumlah tikus yang dibeli oleh Palahatoi sangat rendah berbanding hari pertama dan kedua. Palahatoi mengeluarkan duit sebanyak RM2000 untuk membeli tikus. Ini bermakna jumlah tikus yang dibeli oleh Palahatoi pada hari ketiga ialah 100 ekor.

Pada hari keempat, Palahatoi menawarkan harga RM100 bagi seekor tikus. Orang-orang kampung semakin bersemangat tapi dah tak jumpa tikus lagi.

Puas dicari di setiap ceruk kampung tapi hampa.

Jumlah 10,000 ekor tikus yang dibeli oleh Palahatoi sebelum ini masih tidak dapat ditambah sebab orang-orang kampung tak dapat tangkap tikus lagi.

Pada hari kelima, Palahatoi menawarkan harga RM200 bagi seekor tikus. Kali ini Palahatoi minta orang-orang Kampung Tambazoom jual tikus kepada pembantunya sahaja sebab dia terpaksa balik ke bandar selama seminggu atas urusan perniagaan di sana.

Orang-orang kampung hampir putus asa sebab dah tak jumpa tikus lagi untuk ditangkap dan dijual. Mereka mula mengeluh betapa susahnya nak cari tikus pada zaman sekarang.

Di saat-saat orang-orang kampung nak putus asa, pembantu Palahatoi bagi cadangan kepada mereka.

"Tak payah nak ikutkan sangat cara Palahatoi tu. Buat apa susah-susah nak tangkap tikus lagi?Beli je semua tikus yang saya ada ni RM100 seekor lepas tu jual kat Palahatoi minggu depan RM200 seekor."

Semua orang Kampung Tambazoom setuju dengan cara pembantu Palahatoi sebab lebih mudah untuk dapat untung jual tikus.

Dalam masa sehari je 10,000 ekor tikus yang dikumpul oleh Palahatoi sebelum ini telah berjaya dijual. Penduduk-penduduk kampung dah tak peduli dengan tindakan pembantu Palahatoi yang tidak amanah. Janji dapat untung besar jual tikus kepada Palahatoi minggu depan.

Pada minggu berikutnya orang-orang Kampung Tambazoom tunggu kedatangan Palahatoi dengan hati penuh kegembiraan. Tak sabar-sabar rasanya nak jual semua tikus yang mereka ada.

Tunggu punya tunggu tak datang pun Palahatoi. Pembantu Palahatoi pun takde.

Pada hari berikutnya orang-orang Kampung Tambazoom tunggu lagi dengan penuh harapan.

Masih lagi tak nampak batang hidung Palahatoi atau pembantunya.

Dah sebulan tunggu pun tak datang juga si Palahatoi atau pembantunya.

Orang-orang Kampung Tambazoom mula terasa geram, sedih, marah dan tak puas hati dengan Palahatoi dan pembantunya. Mereka terasa diperbodohkan sebab sanggup beli tikus harga RM100 seekor.

Ada di antara mereka sanggup gadaikan emas untuk beli tikus.

Ada juga yang jual tanah, rumah, kereta, motor dan macam-macam lagi sebab nak beli tikus banyak-banyak punya pasal.

Nak buat apa beli banyak tikus?

Alangkah kecewanya penduduk-penduduk Kampung Tambazoom.


Motif atau mesej yang cuba disampaikan?

Mesej yang saya cuba sampaikan ialah golongan scammer ni ada macam-macam cara nak ambil kesempatan dari mangsa. Lagi besar modal scammer, lagi besar jumlah sasaran mangsa dorang.

Pernah tak anda diejek, diperli, disindir sebab tak nak join skim cepat kaya atau sebarang jenis skim merapu merepek meraban?

Jangan layan orang-orang macam tu. Nanti lepas dorang rugi kena tipu scammer baru nak menyesal.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik. Terima kasih.