Sunday, October 2, 2022

Perniagaan Bermusim VS Perniagaan Evergreen

Saya pasti anda tahu pasal perniagaan bermusim tetapi apa itu perniagaan evergreen? Apa maksud evergreen? Pernah hijau atau malar hijau?

Perniagaan bermusim atau evergreen?

Silakan baca perbezaan antara perniagaan bermusim dengan perniagaan evergreen untuk topik kali ini.

MAKSUD

Bermusim

Perniagaan bermusim ni maknanya perniagaan ikut musim. Contohnya bila musim durian barulah ada orang jual durian sebab durian bukannya ada sepanjang tahun.


Evergreen

Perniagaan evergreen maknanya perniagaan yang tak ikut musim. Contohnya peniaga nasi lemak tak perlu tunggu musim apa-apa pun sebab nasi lemak bukannya muncul ikut musim.


MASA

Bermusim

Perniagaan bermusim muncul pada masa tertentu je bukannya sepanjang tahun. Contoh mudah ialah durian.

Selain tu ada juga perniagaan bemusim yang ikut trend atau masa viral je. Contohnya musim fidget spinner. Sekarang bukan takde orang jual fidget spinner cuma pengaruhnya dah tak macam dululah.

Ada perniagaan bermusim setiap tahun muncul dan ada juga yang dah pupus atau susah nak jumpa sekarang ni.

Contohnya kaset lagu radio/walkman. Ada lagi tak penyanyi zaman sekarang nak keluarkan album lagu dalam bentuk kaset?

Nak dengar lagu boleh guna Youtube..

Drama dan anime pun ada musim juga season 1, season 2, season 3 dan akhirnya final season. Trending dan viral macam mana sekali pun, sampai masa habis juga season atau musimnya.

Kalau di luar negara yang ada musim salji, dorang ada servis tolak atau ratakan salji. Bila dah habis musim sejuk, takdelah servis tolak salji. Kira perniagaan bermusim jugalah tu.

Dalam content ni saya kongsikan perniagaan bermusim yang ada di Malaysia.


Evergreen

Perniagaan evergreen pula memang ada sepanjang tahun. Contoh mudah ialah nasi ayam.

Sepanjang tahun ada je peniaga nasi ayam tak kira musim durian atau bukan. Sentiasa ada sepanjang tahun.


UNTUNG

Bermusim

Perniagaan bermusim ni ikut musim jadi kalau nak untung lebih kena ikut musimlah. Segala modal, lokasi, teknik marketing yang hebat takkan berguna kalau tak ikut musim.

Bila musim tu nak dekat, promotelah habis-habisan. Kena aktif dan cepat sebelum habis musim.

Tak dinafikan memang ada peniaga bermusim yang untung besar dan ada juga yang rugi.


Evergreen

Perniagaan evergreen pula tak perlu ikut musim untuk dapatkan untung. Bukan bermakna tak perlu tips atau strategi perniagaan yang betul.

Sekurang-kurangnya anda tak perlu risau habis musim kalau anda pilih perniagaan evergreen.

Ada peniaga evergreen yang untung besar dan ada juga yang rugi.


JENIS

Bermusim

Saya kongsi 9 contoh perniagaan bermusim di sini :

  1. Durian
  2. Kuih raya
  3. Sampul duit raya
  4. Kurma
  5. Bunga api
  6. Pakaian sekolah
  7. Kereta Tamiya
  8. Fidget spinner
  9. Kaset lagu

Memang ada kedai jual pakaian sekolah sepanjang tahun. Setiap kali masuk cuti sekolah hujung tahun...punyalah ramai mak bapak berkerumun.

Kalau hari biasa tak ramai pun singgah nak beli baju sekolah.

Saya tahu memang boleh dapat sampul duit raya free di Econsave, Smart, Mydin dan pusat beli-belah yang lain. Dengan syarat beli barang berjumlah RM80 atau RM100 atau lebih.

Sampul duit raya Econsave.

Masa bulan Ramadhan di bazar pun ada orang jual sampul duit raya. Kira bermusim jugalah orang jual sampul duit raya ni.

Saya tak nak masukkan idea jual mercun walaupun ikut musim sebab bahaya. Setiap tahun ada je kes orang cedera terkena mercun, rumah terbakar, cacat kekal...akibat main mercun.

Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya pasal kereta Tamiya?

Masa tahun 90-an dulu ramai budak-budak beli kereta Tamiya sebab terpengaruh dengan anime Dash Yonkuro.


Saya sendiri pun pernah beli kereta Tamiya tapi yang murah je la. Musim kereta Tamiya memang seronoklah asyik nak ajak kawan-kawan berlumba je. 

Sekarang pun ada je orang jual kereta Tamiya tapi macam biasalah tak macam dulu pengaruhnya.

Masa bulan puasa tahun 2017, musim budak-budak main fidget spinner. Time saya berniaga di baazar pun ada je budak-budak berjalan sambil pusing-pusingkan fidget spinner.

Fidget spinner.

Sekarang masih ada orang jual fidget spinner tapi dah tak macam dululah pengaruhnya.


Evergreen

9 contoh perniagaan evergreen :

  1. Nasi ayam
  2. Pisang
  3. Emas
  4. Burger
  5. Popia goreng
  6. Roti canai
  7. Tudung
  8. Telekung
  9. Kasut

Walaupun 9 contoh tersebut tidak bermusim, tak bermakna harganya sentiasa tetap.

Contohnya emas ada masa harganya naik dan ada masa harganya turun. Emas bukannya bermusim macam buah durian tapi harganya tak menentu.


PILIHAN

Nak pilih perniagaan bermusim atau evergreen?

Dua jenis perniagaan ni tetap untung kalau kena caranya.

Mungkin anda nak buat kedua-duanya sekali?

Contoh perniagaan yang boleh dibuat kedua-duanya sekali ialah kasut.

Gambar hiasan kasut.

Musim raya ada orang beli kasut sport untuk dijadikan kasut raya.

Bukan musim raya pun ada orang beli kasut sport untuk dibuat jalan-jalan.

Ada orang buat perniagaan bermusim je.

Contohnya masa musim durian, seorang pekerja makan gaji jual durian secara sambilan je. Bila dah habis musim durian, dia stop jual durian.

Ada juga orang buat perniagaan evergreen je.

Contohnya peniaga burger full time. Tak berminat nak jual benda-benda lain yang bermusim sebab dia nak fokus jual burger je.

Kalau anda penjual buah sudah semestinya tak dapat jual durian setiap hari. Sementara nak tunggu musim durian, boleh jual buah-buahan lain dulu.

Sekiranya anda peniaga sarapan tepi jalan, anda boleh masuk bazar masa bulan Ramadhan. Selain jual nasi lemak dan kuih-muih, anda boleh ambil peluang jual kurma, kuih raya dan sampul duit raya.

Terpulang kepada anda nak buat perniagaan bermusim atau evergreen sahaja.

Kalau anda masih belum buat keputusan, saya cadangkan anda ambil peluang untuk buat bisnes bermusim dan evergreen.

Jangan putus asa dalam perniagaan dan teruskan usaha sampai berjaya.

Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik. Terima kasih.