Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif hari ini, pelbagai cara digunakan oleh peniaga untuk menarik perhatian pelanggan.
![]() |
| Nak berniaga sambil melawak? |
Satu dari pendekatan yang semakin popular ialah menggunakan unsur humor atau melawak ketika mempromosikan produk.
Kita boleh lihat di media sosial, video promosi, siaran langsung (live), malah di kedai fizikal, ramai peniaga memilih untuk menyelitkan unsur jenaka bagi menceriakan suasana dan menarik minat pelanggan.
Walaupun melawak boleh menjadi strategi pemasaran yang bagus tapi tetap ada batasnya. Jika tidak dikawal, gurauan yang keterlaluan boleh memberi kesan negatif kepada imej perniagaan. Oleh itu, penting untuk memahami kebaikan dan juga keburukan melawak dalam berniaga.
Kebaikan Melawak Dalam Berniaga
1. Menarik perhatian pelanggan
Dalam dunia pemasaran, perkara paling penting ialah menarik perhatian orang ramai. Humor mempunyai kelebihan kerana ia mudah mencuri perhatian.
Pelanggan lebih cenderung berhenti menonton video atau membaca iklan yang kelakar berbanding iklan yang terlalu serius.
Contohnya, ramai peniaga di media sosial membuat video promosi yang lucu dan spontan. Walaupun produk yang dijual tu biasa-biasa je tapi gaya penyampaian yang kelakar membuatkan orang ramai tertarik untuk menonton sampai habis.
Apabila video tersebut dikongsi oleh orang ramai, secara tidak langsung meningkatkan pendedahan kepada produk tersebut.
2. Membina hubungan mesra dengan pelanggan
Melawak juga membantu mewujudkan suasana yang lebih santai antara peniaga dan pelanggan. Apabila pelanggan rasa selesa, mereka lebih mudah mempercayai peniaga.
Pelanggan biasanya lebih suka membeli daripada peniaga yang ramah, ceria dan tidak terlalu formal. Unsur humor boleh membuatkan pelanggan rasa seperti berurusan dengan rakan sendiri bukan sekadar penjual.
3. Membuatkan jenama lebih mudah diingati
Satu lagi kelebihan humor ialah membantu sesuatu jenama menjadi lebih mudah diingati. Iklan yang kelakar atau dialog lucu sering melekat dalam ingatan orang ramai.
Apabila pelanggan teringat sesuatu jenama kerana lawaknya, mereka mungkin akan menyebutnya kepada kawan-kawan. Ini secara tidak langsung menjadi promosi percuma di kalangan orang ramai.
4. Meningkatkan potensi tular (viral)
Di era media sosial seperti sekarang, kandungan yang lucu lebih mudah menjadi tular. Video pendek yang menghiburkan sering dikongsi oleh pengguna kepada rakan atau keluarga.
Bagi peniaga, kandungan yang tular boleh memberi impak yang besar kepada jualan. Dalam beberapa kes, produk yang tidak begitu dikenali boleh menjadi popular dalam masa yang singkat disebabkan video promosi yang kelakar.
Keburukan Jika Melawak Melampaui Batas
Walaupun humor mempunyai banyak kelebihan tapi ia juga boleh mendatangkan masalah jika digunakan tanpa kawalan.
1. Boleh menyinggung perasaan orang lain
Lawak yang melibatkan sensitiviti kaum, agama, fizikal seseorang atau latar belakang sosial boleh menimbulkan kemarahan orang ramai.
Dalam dunia media sosial, sesuatu yang dianggap lucu oleh segelintir orang mungkin dianggap hina oleh orang lain. Jika perkara ini berlaku, peniaga boleh menerima kecaman yang besar dan reputasi perniagaan boleh terjejas.
2. Menjejaskan imej profesional
Sesetengah jenis perniagaan memerlukan imej yang lebih profesional dan serius. Jika peniaga terlalu banyak melawak sehingga kelihatan tidak serius, pelanggan mungkin meragui kredibiliti mereka.
Contohnya, perniagaan berkaitan kesihatan, kewangan atau pendidikan biasanya memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati.
Lawak yang tidak sesuai boleh menyebabkan pelanggan hilang keyakinan.
3. Fokus pelanggan lari daripada produk
Kadang-kadang kalau terlalu kelakar, orang hanya ingat kelakar je bukannya ingat produk yang dijual.
Dalam keadaan ini, tujuan asal pemasaran tidak tercapai. Orang mungkin menonton video sebab nak tengok lawak je. Langsung tak berminat nak beli produk.
4. Risiko salah faham
Humor sering bergantung kepada cara penyampaian dan konteks. Jika mesej tidak jelas, lawak boleh disalah tafsir.
Contohnya,
“Kalau beli hari ni maknanya korang bijak. Kalau tak beli maknanya korang tak bijak."
“Beli je produk ni kalau tak nak jadi gemuk macam badak berendam!"
"Kalau kulit korang hitam legam bagaikan malam yang suram, produk ni memang sesuai untuk korang!"
Apa yang dimaksudkan sebagai gurauan mungkin dianggap serius oleh sesetengah orang. Salah faham seperti ini boleh mencetuskan permusuhan yang tidak dijangka.
Cara Menggunakan Humor Dengan Bijak
Bagi memastikan humor memberi manfaat kepada perniagaan, beberapa perkara perlu diberi perhatian:
1. Elakkan menyentuh isu sensitif seperti agama, kaum dan kecacatan fizikal.
2. Pastikan lawak masih berkaitan dengan produk yang dijual.
3. Kenali sasaran pelanggan sebab bukan semua orang mempunyai selera humor yang sama.
4. Gunakan humor secara sederhana bukan berlebihan.
5. Utamakan rasa hormat terhadap pelanggan dan masyarakat.
Dengan pendekatan yang betul, humor boleh menjadi alat pemasaran yang sangat berkesan tanpa menimbulkan masalah.
Kesimpulan
Melawak dalam berniaga boleh menjadi strategi yang kuat untuk menarik perhatian pelanggan, membina hubungan yang mesra dan menjadikan sesuatu jenama lebih mudah diingati.
Dalam dunia pemasaran moden, unsur humor sering membantu kandungan menjadi lebih menarik dan berpotensi tular di media sosial.
Namun, humor juga perlu digunakan dengan berhati-hati. Lawak yang melampaui batas boleh menyinggung perasaan orang lain, menjejaskan imej perniagaan dan menyebabkan pelanggan hilang kepercayaan.
Oleh itu, peniaga perlu bijak menilai situasi dan memastikan gurauan yang digunakan masih berada dalam batas yang sesuai.
Akhirnya, humor yang baik ialah humor yang menggembirakan orang ramai tanpa merendahkan sesiapa. Jika digunakan secara bijak, melawak bukan sahaja menghiburkan pelanggan, malah boleh menjadi satu kunci kejayaan dalam dunia perniagaan.
Wallahua'lam.

No comments:
Post a Comment
Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.