Tuesday, October 7, 2025

AI Takkan Mampu Buat Ini

Orang sekarang sikit-sikit tanya Chatgpt. Sikit-sikit tanya AI. Nak buat karangan pun guna AI.

Bukan semua kerja AI boleh buat

Nasib baik tak boleh suruh AI buat sambal nasi lemak. Kalau tak dah lama orang ramai buat.

Terus-terang AI (Artificial Intelligence) memang luar biasa. AI sekarang boleh tulis artikel, lukis gambar, buat lagu malah berbual seperti manusia.

Ramai orang bimbang pekerjaan dorang akan digantikan oleh AI. Namun hakikatnya, tidak semua kerja boleh diganti oleh AI.

Masih ada banyak perkhidmatan yang AI tak akan mampu buat sampai bila-bila terutama yang melibatkan sentuhan manusia, emosi, spiritual dan hubungan sosial yang tulen. Artikel ini menghuraikan secara terperinci jenis-jenis perkhidmatan yang kekal milik manusia walaupun dunia semakin canggih.

1. Perkhidmatan yang Perlukan Sentuhan Fizikal

a) Tukang Gunting Rambut

AI boleh mereka gaya rambut terbaik, tapi hanya manusia boleh memegang gunting dan menyentuh kepala pelanggan dengan lembut. Dalam dunia kecantikan, pelanggan bukan sekadar mahukan hasil, tetapi juga pengalaman — rasa dilayan, dibelai, dan difahami. 

b) Tukang Urut

Begitu juga dengan tukang urut, tukang bekam dan ahli fisioterapi yang menggunakan sentuhan fizikal untuk melegakan kesakitan. Kalau kita tanya AI cara bekam, memanglah AI boleh jawab tapi tak boleh buat. Kena ada orang juga kalau nak berbekam.

c) Tukang Baiki

Robot boleh bantu kerja teknikal tapi bila paip bocor, dinding retak atau bumbung bocor, tetap manusia juga yang diperlukan. Kerja pertukangan ni perlukan penilaian situasi sebenar. AI boleh bagi panduan langkah demi langkah tapi tangan manusia juga yang akan pegang tukul, screwdriver, paku, skru dan lain-lain alat pertukangan.

d) Tukang Masak

AI boleh tulis resepi tapi siapa yang nak masak? Orang juga yang nak memasak. Memang ada mesin potong sayur, cincang daging, uli tepung dan segala macam mesinlah untuk buat kerja potong-potong dan masak-masak ni tapi siapa yang nak aktifkan segala mesin-mesin tu? Manusia juga.

d) Pekebun

Walaupun mesin pertanian moden semakin canggih tapi sentuhan manusia terhadap tanah dan tanaman masih tak boleh diganti. Petani tahu bila tanaman kering atau bermasalah. Naluri ini datang dari pengalaman bukan maklumat dari internet semata-mata.

e) Penternak

AI takkan dapat menternak haiwan. Kalau setakat bagitahu maklumat cara-cara menternak tu bolehlah. Mahu atau tidak, tetap manusia juga yang kena buat kerja-kerja jaga lembu, kerbau, kambing, ayam dan haiwan-haiwan ternakan yang lain. Nak ternak ikan? Kena ada orang juga nak buat kolam.


2. Perkhidmatan yang Perlukan Sentuhan Emosi

a) Kaunselor

AI boleh mendengar dan memberi nasihat umum tapi AI tidak faham emosi manusia. Bila seseorang datang kongsi masalah kehidupannya, manusia juga yang boleh memahami. Empati tidak boleh diprogramkan.

b) Pendidik

AI boleh mengajar tapi guru sebenar tahu bila pelajarnya sedih, takut atau gembira. Kelembutan dan ketegasan seorang guru memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar. AI mungkin boleh menilai prestasi tapi tak mampu menanam nilai moral dan kasih sayang.

c) Pekerja dalam bidang Agama

Imam yang baca khutbah dengan penuh bersemangat, tukang mandi jenazah yang memahami kesedihan keluarga si mati, tok kadi yang mencuit hati pengantin, penceramah yang menyentuh hati pendengar.. semua ini tidak boleh diganti dengan AI.

d) Pekerja Kebajikan

Apabila seseorang ditimpa bencana atau kehilangan, dia tidak perlukan AI tetapi manusia yang boleh membantu kurangkan beban dan memahami penderitaannya.


3. Perkhidmatan Kreatif

a) Pelakon, Pemuzik dan Penghibur

AI boleh cipta video, lagu atau watak maya tetapi emosi manusia dalam persembahan langsung tidak dapat ditiru. Penonton ketawa, menangis atau bertepuk tangan kerana mereka rasa "aura" dalam karya itu. Sebab itu, konsert, teater dan seni persembahan masih relevan.

b) Pelukis dan Pengukir Seni Tradisional

Karya seni bukan sekadar bentuk tetapi jiwa dan pengalaman manusia yang diterjemah ke atas kanvas atau kayu. AI boleh hasilkan lukisan sempurna tapi tidak boleh hasilkan nilai sentimental yang datang dari perasaan sebenar pelukis.

c) Pengacara Majlis dan Pelawak

Walaupun AI boleh baca skrip tanpa silap tapi AI tak boleh buat lawak spontan. Kena guna perkhidmatan manusia juga untuk jadi pengacara atau pelawak dalam sebuah program, majlis atau sebarang jenis rancanganlah.


4. Perkhidmatan Sosial dan Barisan Hadapan

a) Polis, Bomba dan Angkatan Pertahanan

AI boleh bantu dengan sistem pengawasan tapi bila berlaku kebakaran atau kemalangan, manusia tetap perlu ambil risiko untuk menyelamatkan nyawa. Keberanian, kecepatan membuat keputusan dan naluri untuk bertindak.. semua itu tidak dimiliki oleh AI.

b) Doktor dan Jururawat

AI boleh bantu menganalisis penyakit, tapi kerja-kerja merawat masih perlu dilakukan oleh doktor dan jururawat.

c) Pekerja Kebersihan dan Pengangkutan

Walaupun ada mesin pembersih automatik, kerja-kerja harian seperti menyapu, mengutip sampah atau membersih tandas awam masih perlukan manusia. Sama juga dengan pemandu e-hailing dan bas, kena ada manusia juga untuk memandu kenderaan tersebut. Ferry? Kena ada orang. Kapal terbang? kena ada orang jadi pilot. Lori hantar barang? pemandunya manusia juga.

d) Pemimpin Komuniti

Ketua kampung, penghulu atau wakil masyarakat memainkan peranan yang bukan hanya tahu memimpin tetapi mesti memahami budaya, sensitiviti dan adat tempatan. AI mungkin tahu undang-undang tapi tidak tahu rasa hormat dan nilai kemanusiaan.


5. Perkhidmatan yang Perlukan Kepercayaan dan Nilai

a) Peguam dan Hakim di Mahkamah

AI boleh bantu menulis dokumen undang-undang tapi berhujah di hadapan hakim memerlukan akal, emosi dan seni berkomunikasi. Seorang peguam berjaya bukan kerana data tetapi kerana daya pengaruh dan kefahaman terhadap manusia.

b) Perunding Kewangan dan Broker Hartanah

Walaupun ada sistem automatik, pelanggan masih mahu berbincang dengan manusia sebenar bila melibatkan wang dan masa depan mereka. Faktor kepercayaan dan pengalaman tak boleh diganti oleh AI.


6. Perkhidmatan Berasaskan Keunikan Individu

a) Pereka Fesyen dan Stylist

AI boleh hasilkan rekaan pakaian tapi perasaan manusia terhadap gaya dan budaya jauh lebih mendalam. Setiap pelanggan ada citarasa dan emosi tersendiri yang hanya pereka manusia boleh faham. Kerja-kerja mengukur, menjahit dan menghias pakaian masih perlu dilakukan oleh manusia.

b) Jurufoto Perkahwinan dan Videografer

Jurufoto sebenar tahu bila momen terbaik untuk dirakam seperti senyuman manis, air mata bahagia babak lucu atau suasana meriah. Itu bukan algoritma, itu naluri.

c) Pemandu Pelancong

AI boleh bagi maklumat tempat menarik tapi pemandu pelancong sebenar membawa cerita, pengalaman dan keakraban yang menjadikan perjalanan lebih bermakna.


7. Perkhidmatan Berdasarkan Budaya dan Adat

Budaya setiap bangsa berbeza. Dalam hal-hal adat, AI tak mampu memahami makna simbolik atau spiritual di sebalik sesuatu amalan. Contohnya:

  • Upacara perkahwinan Melayu yang penuh adat.

  • Majlis kenduri doa selamat.

  • Sambutan hari kebesaran seperti Maulidur Rasul atau Hari Raya.


8. Mengapa AI Tak Mampu Gantikan Manusia?

Ada tiga sebab utama mengapa AI tidak akan mampu menggantikan manusia sepenuhnya:

  1. Tiada jiwa dan perasaan.
    AI boleh meniru bahasa atau kata-kata tapi tidak boleh merasainya. Ia tidak faham apa itu kasih, rindu atau sedih.

  2. Tiada nilai moral dan spiritual.
    AI tak tahu mana betul atau salah secara moral. Ia hanya bertindak berdasarkan data.

  3. Tiada naluri dan kreativiti sebenar.
    Manusia boleh mencipta sesuatu daripada pengalaman dan perasaan. AI hanya meniru berdasarkan corak yang sedia ada.


9. Contoh Nyata di Malaysia

Mari lihat beberapa contoh kerja yang kekal relevan walaupun teknologi terus berkembang:

  1. Tukang gunting rambut.

  2. Tukang urut tradisional.

  3. Guru tadika atau ustazah.

  4. Jururawat dan doktor.

  5. Tukang masak dan peniaga pasar malam.

  6. Imam masjid dan penceramah agama.

  7. Jurufoto majlis.

  8. Kaunselor dan motivator.

  9. Tukang rumah atau kontraktor kecil.

  10. Pemimpin komuniti dan ketua kampung.

Semua pekerjaan ini ada satu persamaan iaitu mereka melibatkan manusia secara langsung.


Kesimpulan

AI memang boleh membantu, mempercepatkan kerja dan memudahkan hidup kita. Namun, dunia ini tetap perlukan manusia untuk berfungsi dengan sempurna.

Perkhidmatan yang melibatkan sentuhan fizikal, kasih sayang, seni, spiritual dan kepercayaan tidak akan dapat diganti oleh mesin sampai bila-bila.

Oleh itu tak perlu risau pasal AI.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.