Thursday, January 22, 2026

Tak Semua Orang Sesuai Jadi Usahawan (Ini Realitinya)

Kalau lahir dari keluarga yang kaya memang senang nak jadi usahawan.

bukan semua orang boleh jadi usahawan
Usahawan bermula dari kerja sendiri

Kalau anda bukan dari keluarga yang kaya-raya, nak jadi usahawan memang susah.

Pernah tak bila anda buka media sosial, nampak cerita kejayaan usahawan?

Ada yang kongsi hasil jualan lima angka sehari.

Ada yang cerita berhenti kerja pada umur 25 tahun.

Ada yang tunjuk kebebasan masa, kerja di mana-mana dan duit masuk akaun bank setiap hari tanpa henti.

Perkongsian macam tu secara tak langsung menpengaruhi minda orang ramai. Perlahan-lahan ia membentuk satu kepercayaan :

“Kalau nak berjaya kena jadi usahawan.”

Namun, ada hakikat yang jarang dibincangkan iaitu :

"Bukan semua orang sesuai jadi usahawan."

Artikel ini bukan untuk mematahkan semangat tapi untuk buka mata dan minda anda.

Jangan jadi usahawan sebab tekanan sosial atau hanya ikut impian semata-mata.


Mitos : Semua Orang Boleh Jadi Usahawan

Secara teori memang semua orang boleh cuba berniaga.

Antara boleh cuba dan boleh bertahan tu memang jauh perbezaannya.

Ramai orang boleh berniaga tapi tak ramai yang boleh :

  • Kawal emosi bila rugi
  • Bertahan lebih 3 tahun
  • Terus konsisten walaupun hasil sikit

Kegagalan bisnes kecil sebenarnya tinggi cuma ramai yang tak tahu. Yang gagal biasanya senyap, yang berjaya saja bercerita.

Lalu terbentuk satu ilusi bahawa usahawan itu ialah kebebasan, kekayaan dan kebahagiaan.

Realitinya jauh lebih rumit.


Realiti #1: Hasil Usahawan Tak Tentu

Jika anda seorang yang perlukan:

  • Gaji tetap
  • OT/Elaun yang jelas
  • Rutin kerja yang stabil

Keusahawanan bukan untuk anda.

Sebagai usahawan, anda perlu hadap perkara-perkara seperti bulan ni untung, bulan depan rugi pula.

Hari ini banyak pelanggan, esok senyap. Duit masuk tak menentu tapi komitmen mesti ada.

Ramai orang kata mereka sanggup ambil risiko tapi bila berdepan dengan realiti "sepak terajang" bisnes, terus putus asa.

Sebab tu bukan calang-calang orang boleh jadi usahawan.


Realiti #2: Tekanan Usahawan Jarang Difahami Orang Sekeliling

Orang nampak usahawan ni senang sebab bebas kewangan dan bebas masa.

Orang tak nampak betapa susahnya nak mula buat kerja sendiri sebelum jadi usahawan yang berjaya.

Tekanan dari keluarga yang memang tak boleh terima perniagaan sebab hasil tak menentu, tekanan sebab rugi, tekanan sebab banyak guna tenaga walaupun hasil tak menentu dan lain-lain cabaran sebagai peniaga.

Bila bisnes jatuh, terpaksa tanggung sendiri. Bila pelanggan marah pun kena hadap sendiri.

Bila duit tak cukup, macam mana nak terus berniaga?

Masalah-masalah tersebut bukan semua orang sanggup hadap.

Tak semua orang ada mental yang kuat untuk berniaga.


Realiti #3: Disiplin Lebih Penting Daripada Minat

Ramai orang masuk bisnes sebab minat?

Minat apa?

Minat main congkak?

Minat tengok drama?

Minat sahaja memang tak cukup.

Ramai orang minat main game. Tak kisahlah main game PS5 ke, Nintendo Switch 2 ke, PC ke, smartphone ke.. tapi berapa ramai yang betul-betul dapat banyak duit hasil main game?

Memang ada tapi bukan semua orang minat main game dapat duit hasil main game.

Saya sendiri pun minat main game tapi takde hasil pun untuk saya.

Saya tetap suka main game walaupun tak dapat duit sebab apa? Nak hilangkan stress.

Bila saya berniaga makanan tepi jalan, Alhamdulillah baru nampak hasil. Saya bukan minat pun nak berniaga makanan tapi oleh sebab ada hasil, saya teruskan juga.

Sambil berniaga tepi jalan, saya ambil masa buat blog kongsi idea bisnes, pengalaman berniaga, cara dan tips perniagaan. Bila nampak hasilnya, saya stop berniaga tepi jalan.

Adakah saya usahawan berjaya melalui blog?

Saya anggap saya masih kerja sendiri melalui blog. Pendapatan saya melalui blog ni pun belum sampai tahap usahawan.

Baiklah, kita kembali kepada topik.

Usahawan yang bertahan biasanya ada disiplin.

Buat kerja walaupun takde mood. Terus konsisten walaupun hasil tak menentu. Jaga kewangan dan tak boros berbelanja walaupun hasil jualan meningkat.

Jika anda jenis asyik tangguh kerja, cepat bosan dan tak sanggup teruskan kalau hasil sikit..

Terus-terang saya katakan keusahawanan bukan untuk anda.


Realiti #4: Tidak Semua Orang Sanggup Jadi ‘Serba Boleh’

Dalam bisnes kecil sebelum nak capai tahap usahawan, anda bukan sahaja pemilik perniagaan.

Masa modal masih kecil, anda mesti pandai buat sendiri marketing, sales, customer service, akauntan, penghantar, pembersih dan macam-macam lagilah untuk naikkan hasil perniagaan.

Jika anda jenis suka fokus satu perkara sahaja dan cepat tertekan bila buat banyak tugas sebelum capai tahap sebagai usahawan.. Lebih baik lupakan je niat anda nak jadi usahawan.

Ramai orang suka hasil, tapi tak suka proses. Sedangkan kalau nak jadi usahawan yang berjaya, anda perlu lalui proses yang panjang dan berulang-ulang.


Realiti #5: Ego Boleh Membunuh Bisnes

Usahawan mesti sanggup terima kritikan pelanggan, mengaku salah dan belajar untuk jadi lebih baik.

Jika anda tak suka ditegur, mudah terasa dan susah nak mengaku salah.. Bisnes akan jadi beban dalam hidup anda.

Kalau anda sibuk jaga ego, pelanggan pun sibuk cari peniaga lain.

Mereka tak peduli dengan ego anda. Mereka hanya peduli produk atau perkhidmatan anda.


Kenapa Ramai Orang Nak Jadi Usahawan Walaupun Tak Sesuai?

Ada beberapa sebab utama:

1. Tekanan Sosial

"Kerja makan gaji tak ke mana."

"Orang berjaya semua ada bisnes."

Ayat-ayat ini perlahan-lahan mempengaruhi keputusan hidup.

2. Kisah Kejayaan Separuh Cerita

Orang kongsi kejayaan bukan pengorbanan. Orang kongsi angka bukan duka.

3. Lari Dari Masalah Kerja

Bos toksik. Gaji rendah. Tekanan pejabat.

Lalu bisnes dijadikan jalan keluar, bukan pilihan strategik.


Hakikat Penting: Kerja Makan Gaji Bukan Kegagalan

Ini realiti yang jarang dipandang sebagai satu kejayaan.

Sebenarnya memang ada orang bahagia dengan kerja makan gaji, cemerlang dalam organisasi, stabil dari segi emosi dan kewangan.

Mereka menyumbang nilai besar kepada masyarakat.

Mereka jugalah yang jadi pelanggan bantu lariskan hasil jualan peniaga kecil hingga berjaya menjadi usahawan.

Sebab tu usahawan yang berjaya jangan sesekali sombong.

Golongan B40 yang bertungkus-lumus kerja makan gaji inilah yang banyak membantu usahawan.

Kalau semua orang berniaga, siapa nak jadi pembeli?

Kalau semua orang pembeli, siapa nak jadi peniaga?

Orang berniaga perlukan pembeli dan begitulah sebaliknya.

Kita hidup saling memerlukan.

Tidak semua orang perlu jadi usahawan. Tidak semua kejayaan datang dari bisnes.

Kejayaan ialah hidup yang seimbang dan sentiasa bersyukur.


Soalan Jujur Untuk Tanya Diri Sendiri

Sebelum anda buat keputusan untuk jadi usahawan, tanya diri sendiri :

1. Adakah aku mampu hidup dengan hasil tak menentu?

2. Adakah aku sanggup gagal dan bangkit berulang kali?

3. Adakah aku seorang yang berdisiplin?

4. Adakah aku sanggup belajar perkara yang aku tak minat?

5. Adakah keputusan berniaga ni sebab strategi atau emosi?


Jawapan jujur lebih penting daripada jawapan "cover line".


Jika Anda Sedar Anda Tidak Sesuai Jadi Usahawan ~ Itulah Kekuatan Anda!

Kesedaran diri adalah kejujuran. Kejujuran itu adalah kekuatan.

Anda masih boleh:

  • Bina kerjaya cemerlang
  • Buat side income kecil
  • Melabur dengan bijak
  • Sokong usahawan lain

Tidak semua orang perlu jadi pemilik. Ada yang lebih sesuai jadi pembantu atau penyokong.


Keusahawanan Bukan Untuk Semua Tetapi Kejujuran Untuk Semua

Usahawan sejati bukan mereka yang ikut trend tetapi mereka yang layak sahaja.

Jika anda sesuai, bersedialah dengan realiti. Jika anda tidak sesuai, jangan paksa diri.

Hidup bukan perlumbaan siapa paling cepat kaya. Biarlah hidup sederhana asalkan sentiasa bersyukur.

Kalau selalu bersyukur nanti rezeki makin bertambah.

Jika artikel ini membuatkan anda berfikir, kongsikan dengan rakan yang sedang bergelut membuat keputusan sama ada sesuai jadi usahawan atau tidak.


Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.