Setiap hujung bulan, ramai orang melalui situasi yang sama. Gaji masuk, beberapa jam kemudian duit mula keluar untuk sewa rumah, bil utiliti, hutang, minyak, makan, komitmen keluarga dan pelbagai perbelanjaan lain.
![]() |
| cari kerja baru atau side income? |
Adakah anda mengalami perkara yang sama?
Setiap bulan, duit gaji macam tak cukup je.
Situasi ini menyebabkan muncul satu persoalan dalam kepala :
"Kalau gaji tak cukup, patut cari kerja baru atau buat side income?"
Ini bukan persoalan kecil. Ini persoalan yang buat orang rasa nak berubah jadi lebih baik atau rasa macam nak give up je.
Ada yang dah penat di tempat kerja sekarang. Ada yang mahu tambah pendapatan tapi tenaga dah banyak habis kat tempat kerja.
Ada yang takut ambil risiko. Ada juga yang rasa umur dah terlalu tua untuk berubah.
Hakikatnya, tiada satu jawapan yang sesuai untuk semua orang. Namun ada cara untuk menilai pilihan dengan lebih bijak supaya anda tak tersalah langkah.
Artikel ini akan bantu anda melihat kelebihan, risiko dan situasi sebenar antara cari kerja baru atau buat side income, supaya keputusan dibuat berdasarkan realiti, bukan ikut emosi semata-mata.
Kenapa Ramai Orang Sampai Ke Tahap Ini?
Sebelum memilih jalan keluar, penting untuk faham kenapa gaji setiap bulan rasa tak cukup.
Antara punca-puncanya ialah :
- kos hidup semakin meningkat
- gaji naik perlahan atau tak naik langsung
- hutang bulanan terlalu tinggi
- tanggungan keluarga bertambah
- gaya hidup yang membazir
- tiada duit simpanan kecemasan
- bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja
Kadang-kadang masalah bukan sebab seseorang tu malas atau boros. Kadang-kadang sebab sistem hidup semasa memang semakin menekan.
Jadi, bila gaji tak cukup, pilihan terbaik ialah ubah struktur kewangan, bukan sekadar mengeluh.
Pilihan Pertama: Cari Kerja Baru
Ramai orang terus fikir, “Aku kena tukar kerja.”
Ini logik. Jika masalah utama ialah pendapatan terlalu rendah, kerja baru dengan gaji lebih tinggi boleh menyelesaikan banyak perkara dengan lebih cepat.
Kelebihan Cari Kerja Baru
1. Potensi Kenaikan Gaji Lebih Besar
Kadang-kadang kenaikan tahunan di tempat kerja lama cuma RM50 hingga RM90. Bila tukar kerja, kenaikan boleh jadi RM150 atau lebih tinggi.
Contoh:
Kerja di tempat lama gaji RM1900. Itu pun setelah 2 tahun bekerja. Bila pindah kerja di tempat baru gaji RM2600. Tahun berikutnya jadi RM2750.
Contoh tersebut menunjukkan memang berbaloi cari kerja baru kalau dapat gaji lebih tinggi.
2. Peluang Belajar Skill Baru
Tempat kerja baru mungkin beri :
- pengalaman baru
- sistem lebih baik
- peluang naik pangkat
- networking lebih luas
Bila sebut networking, jangan ingat networking tu MLM atau skim piramid pula.
Networking yang saya maksudkan ialah membina dan menjaga hubungan profesional yang boleh memberi manfaat dua hala.
Contohnya berkawan dengan orang dalam industri yang sama, join komuniti profesional, berhubung dengan recruiter atau hiring manager.
3. Kurangkan Tekanan Tempat Kerja Lama
Jika tempat kerja sekarang toksik, terlalu menekan atau tiada masa depan, bertukar kerja lebih baik untuk jaga kesihatan mental.
Risiko Cari Kerja Baru
1. Tidak Semua Kerja Baru Lebih Baik
Ada orang tukar kerja kerana gaji tinggi, tapi budaya kerja lebih teruk.
2. Tempoh Percubaan Tidak Stabil
Masuk kerja baru biasanya ada tempoh percubaan. Jika anda dilihat sebagai pekerja yang tak sesuai dengan syarikat, risiko tetap wujud.
3. Kos Perubahan
Kadang-kadang kerja baru bermaksud:
- lokasi lebih jauh
- kos minyak lebih tinggi
- masa intuk keluarga semakin kurang
- kerja lebih berat
Bila Cari Kerja Baru Lebih Sesuai?
Anda patut pertimbangkan kerja baru jika :
- gaji terlalu rendah dan tiada kenaikan jelas
- skill anda sebenarnya bernilai lebih tinggi
- tempat kerja tiada masa depan
- suasana kerja merosakkan mental
- ada peluang pasaran yang lebih baik
Pilihan Kedua : Buat Side Income
Pilihan kedua ialah kekalkan kerja sekarang tapi tambah sumber pendapatan lain.
Ini semakin popular kerana ramai sedar satu gaji sahaja kadang-kadang tak cukup.
Kelebihan Side Income
1. Kurang Risiko Berbanding Berhenti Kerja
Anda masih ada gaji tetap sambil cuba jana pendapatan tambahan.
2. Boleh Mulakan Secara Kecil-kecilan
Tidak perlu tunggu modal besar. Ada side income yang boleh dibuat ikut masa lapang dan kemahiran sedia ada.
3. Bina Sumber Kedua
Jika kerja utama bermasalah nanti, anda sudah ada asas pendapatan lain.
4. Boleh Berkembang Jadi Sesuatu Lebih Besar
Ramai orang mula secara kecil-kecilan, lama-lama side income yang kecil boleh jadi besar.
Risiko Side Income
1. Penat Berganda
Kerja siang, sambung malam atau hujung minggu boleh menyebabkan rasa letih yang berlipat kali ganda.
2. Masa Rehat Kurang
Jika tak pandai urus masa, hidup boleh jadi hanya untuk kerja semata-mata.
3. Tidak Semua Side Income Berhasil
Mungkin ada side income yang tak menjadi. Ada juga side income yang menjadi tapi ambil masa yang lama sebelum nampak hasil.
Bila Side Income Lebih Sesuai?
Side income sesuai jika :
- kerja anda sekarang masih stabil
- Anda perlukan duit tambahan segera
- Anda belum bersedia ambil risiko tukar kerja
- Anda ada masa lapang lepas kerja
- Anda mahu bina income sebagai back up
Jadi Mana Satu Lebih Baik?
Cari kerja baru atau kekal kerja lama tapi buat side income?
Bergantung pada punca masalah anda.
Jika punca utama ialah gaji anda di tempat kerja lama terlalu rendah, maka kerja baru mungkin lebih baik.
Jika punca utama ialah komitmen tinggi walaupun kerja stabil, maka side income lebih sesuai.
Jika punca utama ialah tempat kerja lama banyak toksik dan gaji rendah, maka kerja baru patut jadi keutamaan.
Jika punca utama ialah takut bergantung pada satu gaji, buat side income lebih sesuai
Formula Mudah Untuk Buat Keputusan
Gunakan 4 soalan ini.
Soalan 1: Tempat kerja sekarang ada masa depan?
Jika jawapan anda 'tiada', pertimbangkanlah untuk cari kerja baru.
Soalan 2: Jika tukar kerja, boleh naik berapa?
Jika beza cuma RM100 tetapi stress berganda, mungkin tak berbaloi.
Soalan 3: Ada masa dan tenaga untuk side income?
Jika setiap hari sudah terlalu penat, pilih side income yang ringan atau fokus naikkan gaji dahulu.
Soalan 4: Ada masalah kewangan jangka masa panjang?
Jika bil atau hutang semakin meningkat, mungkin perlu solusi cepat. Jika mahu masa depan lebih kukuh, bina dua sumber pendapatan lebih baik.
Kesilapan Biasa Yang Mungkin Orang Ramai Buat
1. Tukar Kerja Ikut Emosi
Bergaduh dengan bos hari ini, esok terus resign. Ini bahaya!
2. Side Income Tanpa Disiplin
Mula bersemangat seminggu kemudian berhenti.
3. Tidak Kira Kos Tersembunyi
Kerja baru di lokasi yang jauh makan masa, tenaga dan duit minyak yang lebih tinggi. Side income pula ambil banyak masa sampai tak cukup rehat.
4. Harap Keajaiban Cepat Kaya
Jalan keluar sebenar biasanya perlahan tapi kenalah konsisten. Kalau jadi kaya tu senang, semua orang dah jadi kaya.
Strategi Paling Bijak: Gabung Kedua-Duanya Sekali
Kadang-kadang jawapan terbaik bukan pilih satu tapi pilih dua.
Contoh strategi cari kerja baru dan buat side income :
Fasa 1 (3 bulan)
- kekal kerja sekarang
- potong pembaziran
- mula side income kecil
- update resume
- survey pasaran kerja
Fasa 2 (3–6 bulan)
- mohon kerja lebih baik
- teruskan buat side income
- bina simpanan kecemasan
Fasa 3
- pilih kerja baru jika sesuai
- teruskan side income jika berbaloi
Ini jauh lebih selamat daripada bertindak terburu-buru.
Contoh Situasi Sama Ada Perlu Cari Kerja Baru Atau Tambah Side Income
Situasi A: Gaji RM1700 sebulan, kerja 12 jam sehari.
Terlalu penat, tiada masa buat side income.
Cadangan:
Cari kerja baru dengan waktu bekerja lebih baik atau gaji lebih tinggi.
Situasi B: Gaji RM2000 sebulan, waktu kerja stabil, ada masa lapang lepas habis kerja
Cadangan:
Bina side income dahulu sambil kekal kerja.
Situasi C: Gaji RM3000, bos dan kebanyakan pekerja toksik, setiap hari mental tertekan
Cadangan:
Utamakan cari kerja baru. Duit memang penting tapi kesihatan mental juga penting.
Situasi D: Gaji RM4000 tapi komitmen tinggi
Cadangan:
Semak bajet, buat side income dan kurangkan hutang.
Apa Side Income Realistik Yang Boleh Dilakukan Dengan Segera?
Ada banyak pilihan kalau anda pandai cari peluang contohnya :
- jual makanan secara kecil-kecilan
- dropship/affiliate produk tertentu
- servis cuci rumah/kereta
- potong rumput
- baiki barang elektrik/elektronik
- baiki paip
- cat rumah/pejabat
- jual barang preloved
- cikgu tusyen/ private tutor
Pilih ikut masa, tenaga dan kemahiran anda.
Bila Patut Elak Side Income Dulu?
Jika anda:
- terlalu penat atau burnout
- kesihatan merosot
- kerja utama perlu lebih banyak masa
- rumah tangga terabai
Mungkin anda perlu fokus untuk cari kerja baru atau stabilkan hidup dulu.
Duit Tak Cukup Belum Tentu Sebab Salah Anda
Ada masa seseorang rasa bersalah sebab tak cukup duit.
Tetapi realitinya:
- gaji statik
- harga barang naik
- sewa meningkat
- peluang kerja tak seimbang
Jangan salahkan diri sendiri jika anda hadapi situasi tersebut. Fokus pada usaha untuk jadi lebih baik.
Langkah 30 Hari Yang Boleh Anda Buat Sekarang
Minggu 1
- kira semua komitmen bulanan
- semak perbelanjaan yang membazir
Minggu 2
- kemas kini resume
- tengok pasaran kerja
Minggu 3
- pilih satu side income realistik
Minggu 4
- mula bertindak, jangan fikir negatif
Tindakan kecil lebih baik daripada risau tanpa arah.
Kesimpulan
Kalau gaji tak cukup, patut cari kerja baru atau buat side income?
Jawapan paling jujur ialah :
Cari kerja baru jika pendapatan rendah, tempat kerja tiada masa depan, atau kesihatan mental semakin merosot.
Buat side income jika ada masa lapang selepas balik kerja atau ada masa lapang setiap hujung minggu.
Gabungkan kedua-dua sekaligus jika anda berpeluang untuk melakukannya.
Yang penting, jangan kekal bertahun-tahun dalam keadaan yang sama sambil berharap keajaiban datang sendiri.
Kalau nak berubah jadi lebih baik, jangan harapkan dapat "good luck". Anda kena berusaha dengan lebih gigih untuk capai kejayaan.
Jika anda sedang hadapi gaji yang rendah sekarang, anda lebih cenderung cari kerja baru atau buat side income dahulu?
Wallahua'lam.

No comments:
Post a Comment
Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.