Thursday, June 25, 2020

Nak Untung Lebih Punya Pasal

Pada suatu hari ada seorang lelaki yang semakin berusia tetapi giginya masih kukuh bernama Wan ternampak ada sebuah gerai burger di tepi jalan. Wan perhatikan macam orang baru berniaga je ni.


"Baru berniaga ke?" Tanya Wan.

"Ye bang, baru hari ni start." Jawab peniaga burger.

"Sebelum ni berniaga tempat lain ke?" Tanya Wan lagi.

"Dulu saya kerja makan gaji tapi kena berhenti sebab PKP." Jawab peniaga tersebut.

Kemudian Wan perhatikan tanda harga yang disediakan di gerai burger itu. Harga yang tertulis ialah :

1 burger ayam/daging = RM3
2 burger ayam/daging = RM8
3 burger ayam/daging = RM15
1 burger ayam/daging special = RM4
2 burger ayam/daging special = RM10
3 burger ayam/daging special = RM20

Wan terkejut lalu berlakulah dialog seperti berikut..

Wan : Kenapa beli burger makin banyak makin mahal?

Peniaga : Barulah untung lebih.

Wan : Saya dah 30 tahun lebih berniaga tau. Tak pernah lagi saya jumpa peniaga jual macam ni.

Peniaga : Cara saya jual memang boleh untung lebih dari cara biasa.

Wan : Apa untungnya? Nanti orang beli satu je la. Siapa nak beli banyak-banyak kalau macam ni?

Peniaga burger hanya diam sahaja sambil tersenyum. Wan pula menahan marah sebab seolah-olah dipermain-mainkan oleh orang baru nak berniaga. Sebagai orang yang berpengalaman luas dalam perniagaan, terdetik di hati Wan untuk mengajar orang kurang pengalaman cara berniaga yang betul.

Wan : Bagi saya satu burger daging.

Peniaga burger pun menyediakan satu burger daging secepat mungkin. Setelah siap dibungkus, diberikannya kepada Wan. Apa lagi, Wan pun bayar RM3 kepada peniaga tersebut dan peniaga tu pun ucap terima kasih

Wan : Bagi saya satu burger daging.

Buat kali kedua, peniaga burger itu menyediakan burger daging secepat mungkin. Setelah siap dibungkus, diberikannya kepada Wan. Buat kali kedua Wan bayar RM3 dan peniaga burger pun ucap terima kasih buat kali kedua.

Wan : Bagi saya satu burger daging.

Buat kali ketiga, peniaga burger menyediakan burger daging secepat mungkin. Setelah siap dibungkus, diberikannya kepada Wan. Buat kali ketiga Wan bayar RM3 dan peniaga burger pun ucap terima kasih buat kali ketiga.

Wan : Nampak tak? Saya tetap boleh beli 3 burger pada harga RM3 setiap biji.

Peniaga : Maknanya strategi saya menjadi sebab abang dah beli 3 burger dari saya.

Wan : ...

Peniaga : Tadi abang kata kalau saya berniaga macam ni, orang cuma beli satu je kan? Takde siapa nak beli lebih satu burger kan? Abang dah beli berapa burger tadi?

Wan terdiam walaupun rasa tak puas hati. Tercalar maruahnya sebagai peniaga yang berpengalaman 30 tahun lebih. Wan hilangkan egonya lalu cuba mencungkil rahsia anak muda yang berniaga burger tersebut.

Wan : Awak ada masuk program motivasi atau apa-apa seminar buat bisnes ke?

Peniaga : Takde.

Wan : Habis tu awak belajar dari siapa berniaga macam ni?

Peniaga : Saya belajar dari TNB. Makin banyak makin mahal.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik. Terima kasih.