Sunday, August 21, 2022

Jangan Merungut Sebab Susah Berniaga

Apa yang anda dapat dengan merungut? Peniaga mana yang tak nak untung?

Jangan merungut susah berniaga.

Buat apa nak merungut?

Kalau dengan merungut bisnes jadi semakin maju, silakan merungut berpanjangan tak henti-henti. Mana tahu dengan merungut di media sosial, pelanggan makin bertambah.

Sebaik-baiknya jangan merungut jika perniagaan yang anda jalankan itu susah.

Percayalah di sebalik kesusahan yang anda alami itu sebenarnya ada kesenangan. Tak percaya?


Anda boleh baca sendiri maksud ayat-ayat Quran ini :

"Maka sesungguhnya setiap kesukaran disertai dengan kemudahan."

"Sesungguhnya setiap kesukaran disertai dengan kemudahan."

(Surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6).

Kesusahan, kesulitan mahupun kesukaran yang anda hadapi tu ada kesenangan sebenarnya. Sama ada kesenangan atau kemudahan itu anda terima cepat atau lambat je.

Sebab itulah wujudnya pepatah Melayu "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian".

Dalam setiap kesusahan yang anda hadapi itu pasti ada kemudahannya.

Masalah dalam kehidupan ni ada banyak jenis atau kategorinya. Ada orang bermasalah dengan keluarga, ada yang menghadapi masalah putus cinta, ada orang bermasalah di tempat kerja, ada juga orang bermasalah dengan jiran, ada orang terpaksa jadi cleaner walaupun kelayakannya dalam bidang engineering dan pelbagai jenis lagi masalah.

OK, dalam entri kali ini saya ambil contoh susah dalam perniagaan.

Secara asasnya, bagaimana nak selesaikan masalah perniagaan anda?


1. Cari punca masalah

Jangan cari masalah tetapi cari punca masalah.

Apa yang menyebabkan perniagaan anda susah?

Anda kena jujur dalam hal ini sebab otai-otai berniaga pun tak dapat tolong kalau anda sendiri tak tahu punca masalah perniagaan sendiri.

Mana boleh tiba-tiba mengadu dekat otai berniaga,

"Saya ada masalah bisnes."

Jawapan apa yang anda jangkakan dari otai tersebut?

Berkemungkinan otai tu akan tanya balik kepada anda,

"Apa masalah bisnes kau?"

Sebab itulah penting untuk anda tahu punca masalah perniagaan anda. Cari betul-betul kelemahan dalam perniagaan anda. Kena jujur kalau nak selesaikan masalah bisnes anda dengan sebaik yang mungkin.

Silap-silap anda sendiri boleh selesaikan masalah perniagaan anda kalau anda tahu punca masalahnya.

Sebagai contoh anda peniaga sarapan tepi jalan tapi tak laku.

Suka saya ulangi bahawa anda mesti jujur dalam mencari kelemahan sendiri. Boleh jadi nasi lemak yang anda jual tak sedap sambalnya. Dalam masalah seperti ini, anda kena belajar buat sambal yang sedap dan padu.

Masalah harga?

Harga makanan tepi jalan jangan sama atau lebih tinggi dari harga makanan di restoran. Saya faham harga barang sekarang mahal. Bukan tak boleh naikkan harga tapi pastikan kualiti dan kuantiti makanan dijaga dengan baik.

Kalau terpaksa naikkan harga sebiji epok-epok kentang dari 50 sen sebiji kepada 60 sen sebiji, pastikan epok-epok kentang tu masih rasa sedap, inti tak dikurangkan dan saiznya masih sama. Bukannya naik harga tapi saiz makin kecik. Memanglah orang tak puas hati.

Seandainya juadah sarapan yang anda jual takde masalah dari segi harga, kualiti dan kuantiti, berkemungkinan anda seorang yang kurang mesra terhadap pelanggan. Contohnya tak ucap terima kasih kepada pelanggan, buat lawak tak senonoh, suka loyar buruk dan lain-lain yang boleh menyebabkan pelanggan tak nak singgah lagi.

Walau apa pun masalah perniagaan anda, kalau anda tahu puncanya insha Allah anda akan dapat selesaikan.

Kalau dah tahu punca masalah tapi masih tak dapat selesaikan?

Kita pergi ke point yang berikutnya.


2. Minta tolong dari orang yang tahu

Jangan masuk seminar yang bukan-bukan. Sebaik-baiknya direct tanya otai dalam bidang perniagaan yang anda ceburi.

Kalau nak beli saham, tanya otai saham. Jangan masuk skim cepat kaya atau sebarang pelaburan merapu.

Ada contoh lain?

Contohnya anda nak buka bengkel kereta sendiri, cari pengalaman kerja sebagai mekanik. Gunakan peluang untuk bertanya dan belajar dari tauke pasal selok-belok bengkel kereta di tempat anda bekerja. Timbalah pengalaman beberapa tahun sebelum buka bengkel kereta sendiri.

Zaman sekarang ni zaman mudah nak guna internet. Anda boleh cari otai-otai dalam bidang tertentu.

Contoh lain pula anda nak jual kuih-muih yang sedap, anda kena cari resepi kuih-muih yang sedap di blog, Youtube dan lain-lain media sosial. Boleh jadi orang yang kongsi resepi kuih di internet tak sedap pun tapi dicanang-cananglah resepi kuih dia paling sedap di dunia.

Cara nak tahu resepi kuih tu sedap atau tak, kena buat sendiri. Praktikkan resepi-resepi yang anda jumpa di internet. Dari situ anda boleh tahu siapa otai dan siapa bukan otai.

Itu contoh nak jual kuih-muih sedap.

Kalau ada masalah lain dalam perniagaan, anda boleh try minta pendapat kawan-kawan. Mungkin dalam 10 orang kawan tu ada sorang yang bagi idea bernas untuk setelkan masalah perniagaan anda.

Kadang-kadang otai pun boleh terlepas pandang juga. Mungkin kawan anda yang hanya kerja kilang sebagai operator boleh tolong selesaikan masalah bisnes anda.

Sebab tu kita jangan pandang rendah orang lain walaupun orang tu hanya kerja sebagai operator kilang atau penganggur sekali pun. Boleh jadi penganggur yang kita pandang rendah tu ada satu idea bisnes yang mantap tapi tak dapat direalisasikan sebab tak cukup modal.

Kalau nak cari perkara negatif dari seorang penganggur, saya akui memang senang-senang je dapat. Penganggur ni buang masa kat rumah je, malas, jadi beban keluarga, takde masa depan, berpotensi jadi penjenayah dan macam-macam lagi perkara negatif yang kita boleh fikirkan.

Kalau kita sibuk cari keburukan orang lain bermakna hati dan fikiran kita ada masalah. Macam lalat yang cari najis walaupun berada di taman bunga.

OK kita kembali ke topik kita semula.

Tanya dan minta tolong dari orang yang tahu.

Mungkin dalam adik-beradik kita yang ramai tu ada sorang yang betul-betul boleh tolong setelkan masalah bisnes kita. Kalau tak boleh tolong dari segi kewangan, mungkin pendapat dia boleh digunakan.

Kalau tak dapat selesaikan masalah perniagaan sendiri, kita kena usaha cari orang yang boleh bantu kita. Boleh jadi orang yang boleh bantu kita ialah ahli keluarga, kawan-kawan, jiran, peniaga tepi jalan, tok imam, tok bilal, cleaner, pemilik warung dan lain-lain.

Seandainya masalah kita dah selesai, jangan lupa jasa dorang yang membantu. Mungkin kita boleh belanja dorang makan, belanja top up prepaid, bayarkan bil telefon postpaid atau lain-lain. Terpulanglah kepada anda mengikut kemampuan anda.


Penutup

Dalam bisnes ni ada "art" atau "seni" yang tersendiri. Lain masalah lain cara penyelesaiannya.

Apa yang penting?

Jangan putus asa.


Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik. Terima kasih.