Sunday, June 27, 2021

Kenapa Perniagaan Kecil Anda Gagal? Sebab yang ketujuh mungkin pernah berlaku pada anda atau orang yang anda kenal

Dalam content kali ini, saya nak kongsikan sebab-sebab perniagaan kecil boleh lingkup. Mudah-mudahan melalui perkongsian yang tak seberapa ini dapat membantu anda untuk mengelak dari perkara-perkara yang tidak diingini dalam perniagaan anda.

Tanpa buang masa jom baca sebab-sebabnya.

1. Setakat Ikut Perniagaan Orang Lain Yang Kelihatan Menarik

Contoh beberapa tahun lepas masa viral pisang goreng cheese di Sabah, peniaga-peniaga di Semenanjung pun tiru nak jual pisang goreng cheese juga. Akibatnya? Hanya sedikit je yang berjaya.

Tak salah nak berniaga macam orang lain tapi kena kaji betul-betullah. Usaha sungguh-sungguh dan jangan putus asa.


2. Tiada Kesungguhan


Masalah sebahagian peniaga kecil ialah sekali berniaga terus nak untung beribu-riban. Nak untung banyak tak salah tapi takde kesungguhan berniaga tu yang salah.

Biar takde minat tapi ada kesungguhan. Contohnya saya tak minat jual makanan tapi hasil jual makanan memang memuaskan. Sebab tu saya bersungguh-sungguh terus jual makanan walaupun tak minat pun masa mula-mula berniaga.

Saya minat main game tapi saya bukan pro gamer boleh masuk eSport. Suka main game tapi tak expert pun. Apa lagi nak buat game sendiri untuk dijual..memang ke lautlah.

Oleh itu tak minat tak bermakna tak boleh bersungguh-sungguh. Rasa minat tu datang kemudian bila hasil perniagaan anda semakin hebat.


3. Kurang Pelanggan

Ini lagi satu sebab perniagaan kecil gagal. Bukan langsung takde pelanggan tapi pelanggan sikit je.

Contohnya anda dah buat 10 jenis kuih untuk dijual tapi cuma seorang je yang beli itu pun RM2 je.

Lebihan kuih yang berlambak-lambak tu nak buat apa?

Terpaksalah makan sendiri, bagi jiran atau sesiapa je.

Masalah pelanggan kurang ni sebenarnya masalah sementara je. Mula-mula memanglah tak ramai orang beli sebab tak tahu.

Nanti kalau dah ramai orang tahu pasal produk atau perkhidmatan anda bagus, insha Allah semakin bertambahlah pelanggan anda sampai tak cukup tangan.


4. Lokasi Tak Strategik

Lokasi perniagaan memainkan peranan yang penting. Kalau lokasi anda strategik, memang senanglah nak dapat banyak pelanggan.

Kalau lokasi perniagaan anda agak tersorok, susahlah nak dapat pelanggan. Anda bukan nak jual benda haram nak main sorok-sorok.

Nak jual atau sediakan perkhidmatan yang halal, kenalah di tempat yang strategik. Makin ramai orang tahu makin bagus.

Masa PKP ni, berniaga dari rumah pun boleh dapat untung walaupun tak strategik dari segi lokasi. Caranya ialah anda buat secara COD (Cash on Delivery).

Tak kiralah produk atau perkhidmatan apa pun yang anda sediakan, insha Allah laris. Asalkan anda rajin hebahkan perniagaan anda kepada kawan-kawan, jiran-jiran, sedara-mara melalui Whatsapp, Twitter dan lain-lain.

Kalau bisnes dari rumah pun dapat banyak sales, tak payah pening-pening kepala nak cari lokasi strategik.


5. Tak Gunakan Kelebihan Yang Ada

Contohnya dulu anda study dalam bidang elektrik tetapi anda terpaksa jual kuih sebab tak dapat kerja dalam bidang elektrik yang anda idam-idamkan selama ini.

Tak salah jual kuih tapi alangkah baiknya kalau anda promote diri anda kepada orang ramai yang anda boleh buat kerja-kerja berkaitan elektrik. Contohnya tukar DB (Distribution Board) box, wiring, tukar lampu, tukar kipas siling dan seumpamanya.

Anda boleh jual kuih kalau itu kemahuan anda tapi tambahlah perkhidmatan elektrik dalam bisnes anda. Mana tahu bisnes anda dalam bidang elektrik nanti jadi mantap sebab anda ada kemahiran dalam bidang elektrik.

Jual kuih dan servis elektrik? Anda rasa gabungan macam ni OK atau tak OK?

Gunakan kelebihan yang ada pada diri anda dengan sebaik-baiknya. Bidang elektrik tu sebagai contoh je.

Mungkin anda ada kelebihan dalam bidang motivasi, psychology, penyiasatan, penulisan, kesihatan atau lain-lain lagi. Suka saya ulangi, gunakan kelebihan anda dengan sebaik-baiknya.


6. Selalu Rugi


Kalau berniaga selalu rugi, tauke kayu balak pun gulung tikar.
Apa lagi perniagaan kecil yang selalu rugi? Memang lingkuplah jawabnya.

Nak kena kaji perkara-perkara yang boleh menyebabkan perniagaan kecil anda rugi.

Adakah anda belanja lebih dari yang sepatutnya?

Contohnya untung RM100 tapi anda belanja lebih dari RM100 hingga menjejaskan duit modal perniagaan anda.

Boleh jadi anda jual terlalu murah sehingga menyebabkan susah sangat nak dapat keuntungan yang setimpal dengan kerja keras anda. Akibatnya anda rasa tak berbaloi untuk teruskan berniaga.

Boleh jadi anda jual terlalu mahal sehingga menyebabkan orang ramai tak nak beli dari anda. Akibatnya anda rasa buang masa je untuk teruskan berniaga.

Boleh jadi harga produk atau perkhidmatan anda adalah berpatutan tapi ramai orang tak puas hati dengan kualiti pula. Contohnya anda jual nasi lemak tak sedap. Pelanggan beli sekali je lepas tu terus tak nak beli dari anda sampai bila-bila.

Boleh jadi anda seorang yang kurang adab.

Contohnya ada pelanggan kata,
" Mintak nasi lemak dua bungkus."

Anda pun dengan selamba buat lawak loyar buruk yang langsung tak kelakar,
"Mana boleh mintak? Kalau nak kena belilah!"

Itu namanya biadap. Kalau nak loyar buruk, buat dekat orang yang betul-betul rapat dan boleh terima loyar buruk anda je.

Contoh lain kurang adab ialah sesuka hati je bagi gelaran dekat pelanggan anda. Nampak pelanggan kurus kering terus anda bagi gelaran 'kudut' tanpa persetujuan dari dia. Bagi anda tak jadi masalah tapi mana tahu pelanggan tu terasa hati?

Jangan panggil pelanggan anda ikut gelaran sesuka hati melainkan orang tu tak kisah.

Kalau pelanggan-pelanggan yang terasa hati dengan anda tak nak beli dari anda lagi?

Siapa yang rugi?

Jaga adab bro/sis.

Perkara yang menyebabkan perniagaan kecil anda gagal boleh jadi berbeza dengan peniaga-peniaga kecil yang lain.

Contohnya kalau nasi lemak tak sedap, belajarlah cara buat nasi lemak yang sedap. Buat sampai sedap baru jual.

Walau apa pun produk atau servis yang anda sediakan, pastikan pelanggan puas hati. Kalau boleh 100 pelanggan yang beli dari anda, 100 pelanggan yang sama tu juga puas hati.

Realitinya memang tak dapat 100% pelanggan puas hati tapi berusahalah sebaik yang mungkin. Nak untung lebih kenalah usaha lebih.


7. Disihir


Ada peniaga terpaksa berhenti berniaga sebab ada orang dengki "hantar barang".

Perkara macam ni pernah berlaku pada orang yang saya kenal. Memang sakit dibuatnya.

Orang dengki ni tak boleh tengok orang lain senang. Kalau perniagaan kecil anda semakin berkembang maju, golongan dengki akan rasa tak puas hati.

Ada sihir buat orang tak nampak lokasi perniagaan anda walaupun dah bertahun-tahun tak pernah tukar lokasi perniagaan. Ada juga yang jatuh sakit lepas disihir sampai susah nak bangun.

Sebenarnya ada lagi jenis-jenis sihir lain yang buat peniaga terseksa. Sihir berlaku pun dengan izin Allah, bukannya sebab sihir tu kuat.

Kalau anda merana disebabkan sihir, banyak-banyaklah berdoa minta tolong dari Allah. Hanya Allah sahaja yang boleh bantu anda kalau disihir atau diganggu syaitan.


8. Kalah Dalam Persaingan


Anda jual nasi lemak, orang lain pun jual nasi lemak. Anda jual kuih, orang lain pun jual kuih.

Sekiranya orang lain jual lebih murah atau lebih berkualiti dari anda, perniagaan anda bakal terjejas. Mahu atau tidak, terpaksalah bersaing.

Kalau kalah dalam persaingan memang gulung tikarlah jawabnya.

Saya bagi contoh jika anda baru nak berniaga nasi lemak tapi di kawasan anda nak berniaga tu dah ada otai nasi lemak berpengalaman selama 38 tahun 9 bulan 3 minggu 12 hari.

Apa nak buat?

Anda pergi ke lokasi perniagaan nasi lemak otai tersebut. Perhatikan kalau otai tu ada jual selain nasi lemak. Anda kena peka dan kaji sebaik-baiknya pasal bisnes otai nasi lemak tu.

Mungkin anda boleh dapat idea baru dari situ. Contohnya anda boleh jual nasi lemak ayam panggang dapat free air sirap atau air perisa lain. Buat sesuatu yang lain sedikit dari otai tu.

Nasi lemak tu sebagai contoh je. Kalau anda jual benda lain pun nak kena kaji pesaing anda.

Anda kena bijak ambil peluang supaya anda tak perlu pun bersaing demi mendapatkan untung berulangkali. Otai tu biarlah cara otai, anda berniaga je ikut cara anda asalkan dapat untung berterusan.

9. Selalu sangat cuti


Bukan tak boleh cuti tapi jangan terlalu lama. Sekurang-kurangnya 5 kali seminggu berniaga. Kalau boleh setiap hari berniaga lagi bagus.

Kalau selalu sangat cuti nanti pelanggan tak puas hati. Bila tak puas hati nanti dorang malas nak beli dari anda lagi.

Saya faham sebagai manusia ada masa sakit jadi terpaksalah cuti. Ada masa rasa nak rehat je pada hari-hari tertentu walaupun sihat wal'afiat.

Boleh cuti panjang tapi kesianlah dekat pelanggan tetap anda...

Boleh cuti panjang tapi kesian jugalah dekat perniagaan kecil anda...

10. Difitnah


Zaman sekarang ni fitnah lagi senang tersebar. Share perkara palsu di social media pun boleh dapat liputan satu negara.

Seandainya peniaga tu betul-betul jahat dan terbukti kejahatannya terhadap pelanggan, takpelah diviralkan demi kebaikan orang ramai.

Kalau anda berniaga tak pernah menganiaya pelanggan tapi masih difitnah?

Fitnah ni perkara yang sangat berat. Sebab tu fitnah lebih dahsyat dari membunuh.

Terus-terang saya katakan bukan senang nak berdepan dengan masyarakat kalau anda difitnah. Satu kali netizen dah terpedaya dengan fitnah terhadap anda, dorang cuma nampak keburukan anda je.

Untuk menangkis fitnah, anda boleh pertahankan diri dengan cara sebarkan kebenaran pasal perniagaan anda. Sekiranya berjaya, perniagaan anda bakal terkenal dan 'BOOM!' dapat untung berlipat kaliganda lebih banyak dari sebelumnya.

Fitnah terhadap perniagaan anda berkemungkinan datang dari orang yang sangat rapat dengan anda tapi tak puas hati dengan kejayaan anda.

Kalau anda difitnah, anda termasuk dalam golongan teraniaya. Doa orang teraniaya ni makbul. Berdoalah bersungguh-sungguh minta Allah lindungi anda dari terus difitnah.


Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment