Wednesday, November 27, 2019

Boleh Tak Berniaga Sambil Melawak?

Anda suka beli dari peniaga yang suka buat lawak? Mungkin ya kalau lawak dia kelakar dan tidak menyakitkan hati anda. Nak kena tengok juga lawak dia macam mana kan?

Eh..lawak ke?
Bagaimana pula kalau berdepan dengan peniaga yang kuat loyar buruk?
Seandainya anda sendiri memang kaki loyar buruk memang sesuailah berdepan dengan peniaga yang kuat loyar buruk. Barulah bertemu buku dengan ruas. Berloyar buruklah anda dengan peniaga tu sampai lebam.

Ada orang anggap loyar buruk tu bergurau. Ada juga orang anggap loyar buruk tu menyakitkan hati. Pada pendapat saya, loyar buruk tu tak kelakar.

Dulu saya pernah beli lontong dari pakcik misai tebal kat sebuah kampung. Gerai dia depan masjid je.

Saya kata,
"Bagi saya lontong sebungkus."

Misai Tebal kata,
"Mana boleh bagi. Kalau nak, kena beli!"

Habis pakcik-pakcik yang lepak kat gerai dia ketawa berdekah-dekah. Saya punyalah malu masa tu. Rasa macam nak belasah je si Misai Tebal dengan pakcik-pakcik berkopiah kat situ.

Saya kata sambil tahan rasa marah,
"Kau buat je lah lontong tu nanti aku tahulah nak bayar."

Misai Tebal sengih-sengih je nak bungkus lontong. Darah saya betul-betul tengah menggelegak tengok muka bodoh dia tersengih-sengih.

Bila saya dah guna perkataan "aku" dan "kau" dengan orang tua maknanya saya dah hilang rasa hormat. Saya perhatikan je Misai Tebal tu bungkus lontong. Bila dia dah siap bungkus, saya terus tinggalkan gerai dia.

Saya boikot gerai dia sampai saya habis tulis topik ni. Mungkin terus boikot sampai bila-bilalah.

Saya sendiri peniaga dan pernah berdepan dengan pelanggan yang guna perkataan "minta" dan "bagi".

Contohnya,
"Bagi saya nasi lemak sebungkus."
"Minta mee halus dua bungkus."

Bila berdepan dengan pelanggan macam tu, saya siapkan je apa yang dorang minta. Takdelah pulak saya nak loyar buruk suruh beli sebab tak boleh minta.

Persoalannya boleh tak berniaga sambil berlawak?

Boleh tu memang boleh tapi jangan sampai menyakitkan hati atau memalukan pelanggan. Seandainya lawak yang dibuat menyebabkan pelanggan senyum terpaksa atau bermuka masam, cepat-cepat minta maaf. Tak perlulah berlutut salam cium tangan, cukup sekadar ucapkan minta maaf pada pelanggan.

Sebaik-baiknya peniaga jangan loyar buruk kecuali dengan orang yang betul-betul dah lama kenal dan suka loyar buruk jugak. Bukan semua orang suka loyar buruk termasuk diri saya sendiri.

Pandai melawak sambil berniaga tu kira bonus point bukannya syarat wajib berniaga. Berniaga tak pandai melawak pun takpe asalkan jangan menipu dalam jual beli.

Kalau pandai buat lawak, silakanlah. Kalau pelanggan terhibur, mungkin dia akan teringat-ingat untuk singgah lagi.

Walaupun lawak menjadi tapi janganlah asyik nak melawak je sampai barang-barang yang dijual habis kena air liur. Geli tau tak?

Peniaga makanan kena hati-hati ni, jangan tersembur air liur sewaktu bercakap atau buat lawak.

Apa pendapat anda? Anda suka peniaga loyar buruk atau pandai buat lawak?

2 comments:

  1. kadang-kadang peniaga begini memang annoying tapi kadang-kadang menghiburkan juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau terkena peniaga yang menghiburkan OKlah tu tak jadi masalah.

      Delete