Friday, June 27, 2025

Awal Muharram : Azam Baru Untuk Bisnes Yang Pernah Tewas

Awal Muharram bukan sekadar tarikh pertama dalam kalendar Islam. Ia adalah simbol hijrah, satu peringatan tentang keberanian untuk bermula semula walaupun setelah melalui kegagalan, kejatuhan, dan kehilangan.

Bina azam baru.

Bagi mereka yang terlibat dalam dunia perniagaan, Awal Muharram adalah peluang terbaik untuk muhasabah diri, menilai semula hala tuju, dan menyuntik semangat baru walaupun bisnes pernah rugi atau belum capai sasaran.

Bila Perniagaan Rugi, Apa Perlu Kita Ingat?

Ramai peniaga hari ini kecewa bila :

  • Produk tak laku

  • Modal habis

  • Stok rosak

  • Jualan menjunam

  • Dapat banyak pertanyaan tapi takde orang beli


Namun Allah berfirman:

“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu.”
(Surah Al-Baqarah, 2:216)

Kadang-kadang kerugian itu bukan tanda kegagalan tapi peringatan daripada Allah agar kita perbaiki diri.


Awal Muharram : Masa Terbaik Untuk Reset Bisnes

Muharram ialah bulan mulia. Nabi ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik puasa selepas Ramadan adalah puasa di bulan Allah, Muharram. Sedangkan solat yang paling utama sekepas solat fardhu ialah solat malam.”
(Riwayat Muslim, no. 1163)

Ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan bulan ini. Maka, jadikanlah Muharram sebagai :

  • Bulan perancangan bisnes baru

  • Bulan bersihkan hati dari tamak, riak dan sifat-sifat mazmumah yang lain

  • Bulan untuk "berpindah" dari syubhah kepada halal, dari malas kepada istiqamah


Hadis Sahih Untuk Menguatkan Hati Mencari Rezeki

“Sesiapa yang berusaha mencari rezeki yang halal untuk menjaga kehormatan diri, memenuhi keperluan keluarga, dan membantu jiran, maka dia akan bertemu Allah dengan wajah yang bersinar seperti bulan purnama.” 
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syuab Al-Iman)

Lihatlah betapa mulianya orang yang berusaha mencari rezeki dengan cara yang betul. Walaupun hasilnya sedikit tapi ganjarannya besar di sisi Allah.


Penutup : Jangan Malu Untuk Mula Semula

Awal Muharram bukan sekadar tukar nombor tahun. Ia adalah isyarat untuk muhasabah, hijrah, dan bangkit.

Jika anda pernah rugi, pernah gagal, atau sedang rasa nak putus asa, ingatlah :

  • Rugi itu bukan dosa

  • Berhenti berusaha itu yang rugi sebenar

  • Usahawan sejati bukan yang kaya cepat tapi yang tak putus asa

Mulakan tahun baru ini dengan niat dan strategi baru. Jangan cari keuntungan di dunia sampai lupa cari keuntungan di akhirat.

Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.