Wednesday, December 30, 2020

Foodpanda VS Bungkusit

Dalam konten kali ini, saya nak buat perbandingan antara Foodpanda dan Bungkusit. Bukan setakat perbezaan sebagai peniaga je, perbezaan sebagai pelanggan pun saya cuba kupas.

Foodpanda VS Bungkusit









OK, jom kita mulakan sekarang.
PENIAGA
Daftar
Foodpanda tak kenakan apa-apa caj kepada peniaga yang nak daftar. Selain itu, Foodpanda bagi device atau mesin khas untuk peniaga secara percuma. Kalau rosak atau hilang je baru kena bayar RM600.

Bungkusit kenakan caj sebanyak RM100 untuk pendaftaran sebagai peniaga. Bayar RM100 hanya sekali untuk satu tempat perniagaan sahaja. Kalau lebih dari satu kena bayar lebih contoh kalau nak daftar untuk 3 premis perniagaan kena bayar RM300.

Komisen
Foodpanda ambil 35% dari setiap unit atau set yang berjaya dijual oleh peniaga.

Bungkusit tak ambil komisen dari peniaga sebaliknya ambil 15% dari rider yang berjaya buat penghantaran.

Bayaran
Foodpanda bayar hasil jualan siap tolak 35% komisen dan caj-caj tertentu kepada peniaga 2 minggu sekali. Seandainya Foodpanda lambat buat bayaran kepada peniaga, maknanya ada masalah di situ.


Susahlah nak berniaga kalau lambat dapat duit nak rolling modal. Masuk tahun 2021 dan seterusnya mudah-mudahan tak berlaku lagi perkara macam ni.

Bungkusit takde masalah lambat buat bayaran sebab tiada komisen yang diambil dari peniaga. Bayaran untuk peniaga dapat dari rider. Rider pula dapat duit dari pelanggan.

Bungkusit ambil 15% dari caj penghantaran rider. Kalau caj hantar rider ialah RM10 jadi 15% atau RM1.50 akan diambil oleh pihak Bungkusit. Baki RM8.50 jadi milik rider.

Contoh kalau pelanggan nak beli satu set lamb chop RM20, rider tolong belikan dulu dari peniaga lamb chop. Peniaga lamb chop awal-awal dah dapat RM20 dari rider. Rider pula kena hantar dulu lamb chop sampai ke tempat pelanggan baru dapat duit RM20 tambah caj penghantaran berdasarkan jarak.

Komisen dikenakan pada rider sahaja.

Populariti
Foodpanda cukup terkenal di Malaysia walaupun berasal dari Germany.


App Foodpanda telah 50 juta lebih kali didownload dari 50 buah negara termasuk Malaysia. Foodpanda memang terkenal sebab banyak buat iklan secara online dan offline. Arena gelanggang MMA (Mixed Martial Arts) One FC pun ada logo Foodpanda.

Bungkusit pula belum cukup terkenal di Malaysia walaupun berasal dari Malaysia.


App Bungkusit telah 500 ribu lebih kali didownload. Maklumlah target utama Bungkusit ialah Malaysia jadi tak hairanlah masih belum cecah 1 juta download buat masa ini.

Mungkin perkara ini yang menyebabkan lebih ramai peniaga pilih Foodpanda. Kalau Bungkusit bertahan, tak mustahil popularity boleh meningkat setanding Foodpanda.
 

PELANGGAN
App
Foodpanda menyediakan app yang kurang bermasalah seperti 'hang' atau kejong masa nak pilih menu.


Dari segi layout design, nampak professional.

Bungkusit punya app nampaknya perlu dibaiki atau dinaiktaraf. Tengah tengok menu makanan atau barang-barang yang dijual tiba-tiba 'hang'. Tekan apa-apa kat skrin phone takde respon.


Apa-apa hal pihak Bungkusit kena ambil berat pasal app supaya takde masalah 'hang' atau terkeluar secara automatik masa tengah pilih-pilih barang.

Penghantaran
Foodpanda ada perkhidmatan hantar secara percuma kalau jarak dekat. Anggaran jarak penghantaran yang dibuat oleh Foodpanda ialah dalam lingkungan 6km ke bawah.

Caj penghantaran ada yang RM0.99, RM1.99, RM2.99, RM3.99 dan RM4.99. Di sebalik caj penghantaran atau delivery fee Foodpanda ada 6% SST. Sebagai contoh kalau pelanggan order makanan yang kena delivery fee sebanyak RM4.99, ada tambahan 6% SST yang menyebabkan jumlah delivery fee meningkat jadi RM5.29 atau dibulatkan jadi RM5.30.

Selain makanan atau minuman, Foodpanda juga ada sediakan perkhidmatan hantar barang-barang runcit untuk pelanggan.

Bungkusit pula kenakan caj seperti berikut :

Rider Motor
Parcel 5km ke bawah : RM5
Makanan / Minuman 3km ke bawah : RM7
Barang runcit 5km ke bawah : RM10

Tambahan 1km seterusnya :
Parcel : RM0.95
Makanan / Minuman : RM1
Barang runcit : RM1

Limit saiz barang (L x W x H) : 50cm x 35cm x 25cm
Berat maksimum : 10 kg

Diskaun penghantaran dari 2pm hingga 5pm bagi tambahan 1km berikutnya :
Parcel : RM0.75
Makanan / Minuman : RM0.80
Barang runcit : RM0.85

Surcharge penghantaran dari 10pm hingga 7am bagi tambahan 1km berikutnya :
Parcel : RM1.20
Makanan / Minuman : RM1.25
Barang runcit : RM1.20

Rider Kereta
Parcel 5km ke bawah : RM7
Makanan / Minuman 5km ke bawah : RM17
Barang runcit 5km ke bawah : RM17

Tambahan 1km seterusnya :
Parcel : RM1
Makanan / Minuman : RM1
Barang runcit : RM1

Limit saiz barang (L x W x H) : 50cm x 50cm x 50cm
Berat maximum : 40kg

Diskaun penghantaran dari 2pm hingga 5pm bagi tambahan 1km berikutnya :
Parcel : RM0.90
Makanan / Minuman : RM0.90
Barang runcit : RM0.90

Surcharge penghantaran dari 10pm hingga 7am :
Parcel : RM1.10
Makanan / Minuman : RM1.25
Barang runcit : RM1.25

Contoh pelanggan order makanan dengan jarak 5km dari premis perniagaan ke rumahnya. Caj penghantaran rider motor ialah RM9. Cara kiraannya ialah RM7 bagi 3km pertama tambah RM2 bagi 2km berikutnya sama dengan RM9.

Kalau guna rider kereta lebih mahal. Jarak 5km ke bawah kena caj RM17. Kalau pelanggan malas nak keluar rumah beli barang-barang dapur, barulah berbaloi gunakan perkhidmatan rider kereta.

Jarak penghantaran Bungkusit ialah sejauh 500km. Kalau ada ibu mengandung di KL mengidam nak makan laksa Johor dari Johor Bahru bolehlah order guna Bungkusit. Masalahnya kena tengok kalau ada rider yang sanggup terima job hantar jauh-jauh ni.

Contoh jarak dari JB ke KL.

Caj Rider Motor :
  1. Caj penghantaran RM7 bagi 3km pertama tambah RM328 bagi 328km seterusnya berjumlah RM335.
  2. Kalau pengguna order masa diskaun antara 2pm hingga 5pm, RM7 bagi 3km pertama tambah (RM0.80x328) RM262 bagi 328km seterusnya berjumlah RM269.
  3. Kalau pengguna orfer masa surcharge antara 10pm hingga 7am, RM7 bagi 3km pertama tambah (RM1.25x328) RM410 bagi 328km seterusnya berjumlah RM417.
Itu baru kiraan guna motor. Kalau kiraan guna kereta lagi dahsyat. Ada ke rider kereta sanggup ambil job ni?

Caj Rider Kereta :
  1. Caj penghantaran RM17 bagi 5km pertama tambah RM326 bagi 326km seterusnya berjumlah RM343.
  2. Kalau pengguna order masa diskaun antara 2pm hingga 5pm, RM17 bagi 5km pertama tambah (RM0.90x326) RM293.40 bagi 326km seterusnya berjumlah RM310.40.
  3. Kalau pengguna order masa surcharge antara 10pm hingga 7am, RM17 bagi 5km pertama tambah (RM1.25x326) RM407.50 bagi 326km seterusnya berjumlah RM424.50.
Ada ke pengguna begitu? Mana tahu ada. Saya cuma buat kiraan je kalau betul-betul berlaku penghantaran sejauh itu.

Bungkusit bukan sekadar sediakan perkhidmatan hantar makanan, minuman dan barang-barang runcit sahaja ye. Hantar parcel pun boleh.

Contohnya suami dah sampai pejabat tapi tertinggal surat atau dokumen penting di rumah. Disebabkan takde masa nak patah balik ke rumah, boleh gunakan khidmat rider tolong ambilkan surat/dokumen dari rumah ke pejabat. Asalkan kat rumah ada orang contohnya isteri atau anak yang boleh bagi surat/dokumen kat rider untuk hantar terus ke pejabat.

Bukan setakat surat je, barang-barang lain pun boleh juga asalkan jangan lebih 10kg untuk rider motor atau jangan lebih 40kg untuk rider kereta. Contoh barang-barang lain tu mungkin jubah, tudung, telekung, songkok, kasut, pasu bunga, alat tulis dan lain-lain.

Penghantaran haiwan hidup tak dibenarkan oleh Bungkusit. Penghantaran benda-benda haram pun tak dibenarkan seperti babi, arak dan yang seumpama dengannya.

Tiada caj SST untuk pengguna Bungkusit buat masa ini. Mudah-mudahan akan datang pun tiada juga.

Harga
Foodpanda ambil komisen 35% jadi peniaga-peniaga terpaksa naikkan harga sekurang-kurang 35% juga. Kalau peniaga jual makanan harga biasa di kedai RM10 jadi terpaksa jual RM15.40 di app Foodpanda. Akibatnya pelanggan pun terpaksa bayar lebih 35%.

Seandainya ada voucher atau diskaun, pelanggan yang untung dapat beli pada harga rendah. Akan tetapi vendor Foodpanda terpaksa tanggung caj lebih dari 35% kalau join iklan atau promo Foodpanda. Kalau dah guna voucher siap free delivery memang pelanggan rasa berbaloilah.

Tak mustahil juga seandainya ada harga makanan yang dinaikkan lebih 40% atau lebih lagi sebab nak tanggung sebarang caj-caj tambahan yang dikenakan oleh Foodpanda terhadap vendor. Akibatnya pelanggan yang menanggung harga tersebut atau terus tak jadi beli.

Bungkusit kenakan caj penghantaran kepada pelanggan dan tak ambil komisen dari peniaga. Contoh harga makanan RM10 di tempat berniaga, harga di app Bungkusit juga RM10. Kalau pelanggan beli satu set makanan RM10 yang jarak dari rumah dan premis perniagaan kurang dari 3km, pelanggan perlu bayar RM10 campur RM7 delivery fee rider motor iaitu RM17.

Lagi jauh jarak pelanggan dengan peniaga maknanya lagi tinggi caj penghantaran yang perlu ditanggung oleh pelanggan.

Untuk buat perbandingan harga di antara Foodpanda dan Bungkusit, saya gunakan contoh sebungkus nasi briyani daging harga RM10 dalam jarak dekat tanpa sebarang diskaun atau voucher.

Contoh beli sebungkus
Pengguna Bungkusit yang beli sebungkus nasi briyani daging, harga yang perlu dibayar ialah RM17 termasuk penghantaran.

Pengguna Foodpanda yang beli sebungkus nasi briyani daging, harga yang perlu dibayar ialah RM15.40 sebab vendor terpaksa mark up harga extra 35%. Tiada caj penghantaran sebab free delivery.

Contoh beli 2 bungkus
Pengguna Bungkusit perlu bayar RM20 tambah RM7 delivery fee. Jumlahnya ialah RM27.

Pengguna Foodpanda perlu bayar RM30.80. Tiada caj penghantaran sebab free delivery.

Harga yang berbaloi untuk pelanggan?
Kalau setakat beli sikit contohnya sebungkus nasi briyani daging, lebih baik guna Foodpanda. Kalau nak beli lebih dari satu bungkus nasi briyani daging, lebih baik guna Bungkusit. Beli 2 bungkus guna Bungkusit harga RM27 termasuk delivery fee tapi beli 2 bungkus guna Foodpanda RM30.80 tanpa delivery fee.

Walaupun Foodpanda ada free delivery untuk jarak dekat tetapi harga makanan termasuk caj penghantaran lebih murah di Bungkusit berdasarkan contoh yang saya dah tunjukkan.

Mana satu lebih baik untuk peniaga?
Perkara ni mungkin boleh mendatangkan perbezaan pendapat dari pelbagai pihak. Pada pendapat saya, Bungkusit lebih baik untuk peniaga sebab tak kena tolak 35% komisen atau sebarang caj-caj tambahan yang lain. Hanya perlu bayar RM100 sahaja untuk daftar.

Dari segi penghantaran pun Bungkusit lebih baik sebab boleh cover kawasan sejauh 500km. Maknanya kalau ada tempat makan sedap dalam jarak 10km tu senang-senanglah pengguna Bungkusit nak order.

Dari segi voucher dan diskaun memang Foodpanda lebih baik dari Bungkusit. Saya tahu pengguna Foodpanda seronok bila dapat tawaran harga rendah. Akan tetapi pengguna-pengguna Foodpanda mungkin tak tahu betapa teruk vendors kena caj sebab nak terlibat dalam promo Foodpanda demi mendapatkan banyak sales.

Perkara seperti itu tidak berlaku di Bungkusit. Cara merchant Bungkusit dapat duit ialah melalui duit yang dibayar oleh rider selepas dapat tempahan dari pengguna Bungkusit. Maknanya peniaga-peniaga di Bungkusit boleh dapat duit pusingan modal lebih cepat berbanding di Foodpanda.

Dari segi popularity saya tak nafikan memang Foodpanda lebih terkenal dari Bungkusit. Popularity tak jadi masalah bagi Bungkusit asalkan terus bertahan dan sentiasa baiki kelemahan yang ada contohnya pastikan app dapat digunakan dengan lebih lancar. Kalau app dah laju dan takde masalah 'hang' atau 'exit' secara tiba-tiba barulah boleh beriklan puas-puas untuk dapatkan lebih ramai pengguna.

Foodpanda membenarkan peniaga jual benda haram seperti babi dan arak. Maknanya peniaga-peniaga berstatus haram lebih memihak Foodpanda dalam hal ini.

Bungkusit pula tak membenarkan peniaga jual babi, arak dan benda-benda haram yang lain. Sebagai orang Islam saya lebih memihak kepada Bungkusit dalam hal ini walaupun saya sendiri tak daftar pun sebagai merchant Bungkusit.

Seandainya anda ada pendapat sendiri berkenaan Foodpanda VS Bungkusit, silakan komen. Sama ada anda pro Foodpanda atau pro Bungkusit, tak jadi masalah untuk luahkan pendapat anda asalkan jaga adab.

Wallahua'lam.

Source

2 comments: